AGENDANASIONAL

Kementerian Pembangunan Usahawan sedia bantu dapat sijil halal

LUMUT, 26 OKT: Kementerian Pembangunan Usahawan sedia memberi konsultansi dan bimbingan kepada usahawan terutama pengusaha Industri Kecil dan Sederhana (IKS) mendapatkan sijil halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Md Ramli berkata, ini adalah usaha bagi menggalakkan usahawan IKS yang menghadapi halangan daripada segi pemahaman untuk memohon sijil berkenaan yang dianggap sukar berikutan perlu melepasi syarat tertentu yang dikenakan.

“Ada isu yang timbul iaitu kesukaran untuk mendapatkan sijil halal tetapi kalau barangan kita memang menepati syarat daripada aspek premis, sumber makanan, proses pembuatan dan sebagainya tiada masalah.

“Sebab itu perlu dapatkan panduan, kita akan bantu dari segi konsultansi kalau ada halangan dari aspek pemahaman untuk memudahkan cara dan boleh merujuk kepada bahagian berkenaan di bawah Jakim untuk bimbingan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Fiesta Koperasi dan Usahawan Parlimen Lumut 2019 di Seri Manjung, di sini, hari ini.

Program anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Perak itu diadakan selama dua hari bermula hari ini dengan pelbagai aktiviti menarik seperti jualan usahawan, pertandingan dan cabutan bertuah.

Mohd Hatta yang juga Ahli Parlimen Lumut berkata, kesediaan pihaknya membantu usahawan untuk mendapatkan sijil halal daripada Jakim bukan bermakna jalan pintas sebaliknya mencari kaedah terbaik isu berkenaan.

Terdahulu dalam ucapannya Mohd Hatta berkata, gerakan koperasi negara tidak lagi dilabelkan sebagai pertubuhan sosial semata-mata tetapi sebuah entiti perniagaan yang setanding dengan koperasi di negara maju dunia.

Menurutnya, SKM meletakkan sasaran perolehan gerakan koperasi sebanyak RM50 bilion pada tahun tahun depan dan ia dapat dicapai sekiranya gerakan koperasi kekal berdaya saing serta agresif merebut peluang yang disediakan kerajaan.

Katanya mengikut statistik 2018, Perak antara lima negeri tertinggi yang menyumbang kepada perolehan keseluruhan gerakan koperasi dengan jumlah perolehan pada 2018 sebanyak RM0.67 bilion.

-BERNAMA


Pengarang :