Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching
AGENDANASIONALPENDIDIKAN

Kerajaan peruntuk RM48 juta untuk pengambilan guru ganti

KUALA LUMPUR, 31 OKT: Kementerian Pendidikan memperuntukkan sebanyak RM48 juta bagi pengambilan seramai 21,656 guru ganti pada tahun ini berbanding RM40 juta pada tahun lepas bagi mengatasi masalah kekurangan guru ketika ini, kata Timbalan Menteri Pendidikan, Teo Nie Ching.

Menurut Teo, perkara itu timbul disebabkan masalah ketidakseimbangan antara kekosongan yang ada berbanding jumlah guru yang menamatkan pengajian daripada Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) setiap tahun.

“Kalau saya boleh bagi contoh seperti keperluan guru di sekolah kebangsaan pada tahun ini melebihi 6,000 orang, tetapi mereka yang tamat pengajian di IPGM hanya 1,676 orang yang akan ditempatkan di sekolah-sekolah pada November ini.

“Jadi untuk mengatasi masalah ini, kementerian mengambil inisiatif melatih guru interim pada Februari akan datang dan jumlah yang kita sasar seramai 3,000 orang untuk sekolah kebangsaan dan 800 orang lagi untuk sekolah jenis kebangsaan Cina,” katanya semasa sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Kerajaan sentiasa bersedia memberikan peruntukan sewajarnya untuk pengambilan guru ganti ini ​​​​​​mengikut kedudukan kewangan semasa kerajaan.

Sementara itu Teo berkata, cadangan untuk mewujudkan perjawatan pengkeranian untuk meringankan beban tugas guru di sekolah masih dalam peringkat kajian.

“Buat masa ini, pendekatan guru interim telah dilaksanakan dan kita berharap bahawa tidak lama lagi kita dapat mewujudkan satu penyelesaian jangka panjang untuk mengatasi isu itu,” katanya.

Pada awal tahun ini, kementerian itu dilaporkan bercadang memansuhkan tugas perkeranian dalam kalangan guru yang merupakan satu daripada lima inisiatif yang digariskan oleh kementerian bagi mengurangkan beban guru.

-BERNAMA


Pengarang :