AGENDA NASIONAL

Kes Adib: 12 individu dipanggil semula jika ada petunjuk baharu

KUALA LUMPUR, 2 OKT: Polis akan memanggil semula individu yang pernah ditahan berhubung siasatan kes kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim, sekiranya mendapat petunjuk baharu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pendakwaan dan Undang-Undang D5 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Senior Asisten Komisioner Mior Faridalatrash Wahid berkata, pihaknya menahan 12 individu sebelum ini untuk membantu siasatan dan mereka dibebaskan dengan jaminan polis.

“Pihak polis akan teruskan siasatan dan jika ada keterangan lain yang menyokong (siasatan kes itu), polis akan panggil mereka semula,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman, hari ini.

Ditanya kemungkinan 12 individu itu melarikan diri, beliau berkata, tiada sebab untuk mereka melarikan diri.

“Saya tak nampak isu mereka ingin larikan diri kerana polis telah jalankan siasatan dan mendapati tiada keterangan jelas untuk kaitkan 12 individu ini dengan kejadian itu.

“Jadi tiada sebab untuk mereka melarikan diri ke luar negara dan saya minta semua pihak untuk tidak keluarkan sebarang kenyataan kerana siasatan sedang dijalankan,” katanya.

Pada Jumaat, Mahkamah Koroner Shah Alam memutuskan kematian Muhammad Adib, yang parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya, dekat sini, tahun lepas, adalah akibat perbuatan jenayah yang dilakukan lebih dua atau tiga individu tidak diketahui.

Susulan itu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, PDRM akan mengambil tindakan sewajarnya untuk menyiasat dan mengenal pasti pihak yang terbabit dalam kematian Muhammad Adib.

– BERNAMA


Pengarang :