Noraini Roslan (dua, kiri) dan Timbalan YDP MPSJ, Zulkurnain Che Ali (tiga, kiri) mendengar taklimat berkaitan peralatan skuad PANTAS selepas Sidang Media Khas Persiapan Menghadapi Musim Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat MPSJ, Subang Jaya pada 29 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MPSJ bersedia hadapi Monsun Timur Laut

OLEH ALIFF HAIKAL

SUBANG JAYA, 29 OKT: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) telah melakukan persediaan secara menyeluruh bagi menghadapi sebarang bencana sepanjang musim Monsun Timur Laut yang bermula bulan depan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, Monsun Timur Laut diramal bermula pada awal November dan berakhir pada Mac tahun hadapan.

“Persediaan dari segi kemahiran dan kelengkapan penting ekoran ramalan Jabatan Metrologi Malaysia akan berlaku ribut petir disertai hujan lebat dan angin kencang semasa tempoh Monsun Timur Laut itu.

“Taburan hujan di Selangor pada November dijangka melebihi paras purata iaitu 250mm-450mm,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Sidang Media Persediaan Awal Bencana MPSJ bertempat di Ibu Pejabat MPSJ, di sini, hari ini.

Noraini Roslan (dua, kanan) dan Timbalan YDP MPSJ, Zulkurnain Che Ali (kanan) diberi penerangan Persiapan Menghadapi Musim Monsun Timur Laut di Ibu Pejabat MPSJ, Subang Jaya pada 29 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Noraini berkata, pihak berkuasa tempatan turut menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Kecemasan dan Bencana Alam MPSJ bagi memperkasakan peranan setiap anggota jawatankuasa bencana di peringkat daerah.

“Seramai 37 anggota jawatankuasa ini akan ditugaskan sewaktu bencana bagi memastikan pengurusan kecemasan dan bencana berjalan lancar.

“Jawatankuasa tersebut melibatkan 16 anggota pasukan PANTAS (hotline), 15 anggota PANTAS (sukarela) dan 6 anggota PANTAS (sokongan).

“Saya menyeru kepada semua penduduk yang terlibat dengan bencana supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga, bersedia dan mematuhi arahan pihak berkuasa,” katanya.

Orang awam boleh menghubungi Pusat Panggilan Setempat MPSJ di talian 03-8024 7700 sekiranya terdapat sebarang aduan dan kecemasan yang memerlukan tindakan segera.


Pengarang :