Amirudin Shari bersalam dengan pempamer dalam Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (R,D&I) yang berlangsung di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE /SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

R,D&I bakal jadi ekspo tersohor Asia Tenggara

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat menjadikan Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi (R,D&I) terus berkembang sehingga menjadi ekspo penyelidikan tersohor di Asia Tenggara dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, ekspo yang julung kali dilaksanakan itu menghimpunkan lebih 250 hasil penyelidikan institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan dan pelbagai syarikat di negeri ini.

Katanya, pembangunan R,D&I memainkan peranan penting bagi sesebuah negara maju yang melibatkan institusi pendidikan, industri dan kerajaan.

“Program baharu yang kita laksanakan ini agak membanggakan dan saya lihat beberapa inovasi yang ditampilkan pempamer hari ini jika diketengahkan ia boleh diangkat atau dipasarkan ke pasaran terkemuka.

“Malah, dengan pelaksanaan program ini, kita dapat menarik pelabur untuk membuka perniagaan di Selangor kerana ketersediaan fasiliti penyelidikan serta pembangunan sumber tenaga manusia melalui pendidikan yang kompetensi dan holistik.

“Saya optimis dalam tempoh tiga tahun ini kita turut mendapat kerjasama dengan institusi pengajian tinggi seperti Institut Teknologi Bandung dari Indonesia, Nanyang Institute of Technology dari Singapura dan Mahidol University dari Thailand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas merasmikan Ekspo R,D&I di Pusat Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini, hari ini.

Ekspo R,D&I yang sedang berlangsung di Pameran Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur pada 11 Oktober 2019. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Amirudin berkata, kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat, China, Jepun dan Eropah sudah menjadikan ekspo R,D&I itu sebagai satu landasan untuk mewujudkan jaringan kerjasama antarabangsa.

“Ini kerana mereka menjadikan ekspo itu untuk memantapkan pertumbuhan ekonomi masing-masing dengan urus niaga idea melalui penyelidikan, kajian dan inovasi.

“Saya optimis akan ada lebih banyak penemuan hasil penyelidikan pada masa akan datang dan pada masa sama terdapat syarikat yang boleh komersial produk mereka,” katanya.

Antara pengisian program sempena Ekspo R,D&I yang berlangsung sejak semalam hingga 13 Oktober ini adalah pertandingan reka cipta, Anugerah Inovasi Negeri Selangor, seminar dan pameran institut penyelidikan.


Pengarang :