PBTSELANGOR

Rekod maklumat sampah dalam laporan CCI

PELABUHAN KLANG, 13 OKT: Majlis Perbandaran Klang (MPK) akan merekodkan maklumat sampah yang diperolehi di kawasan Pantai Tanjung Harapan, di sini, dalam laporan Indeks Pantai Bersih (CCI) sebagai langkah mengawal perairan pantai berkenaan daripada dicemari sisa buangan.

Yang Dipertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, laporan perekodan maklumat sampah berkenaan akan dihantar kepada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) bagi tujuan penyelidikan, selain memastikan perkembangan sampah di pantai sepanjang kira-kira dua kilometer (km) itu dapat dipantau secara berterusan.

Katanya, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) terbabit menetapkan sepanjang 300 meter atau 30 plot kawasan kutipan data secara rawak untuk CCI tahun ini, berbanding 150 meter atau 15 plot kawasan pada tahun sebelumnya.

“Setiap satu plot kawasan kutipan data diukur sepanjang 10 meter dan lebarnya adalah dari laluan pejalan kaki (bahagian atas) hingga ke air.

“Sampah dalam CCI akan dibahagikan mengikut kategori masing-masing misalnya beg plastik, penutup botol, botol plastik dan polisterin termasuk bahan buangan lain seperti getah, kasut, kain, serta kayu,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita ketika ditemui pada Program Pantai Lestari dan Karnival Jelajah Kepenggunaan Bebas Plastik MPK, di Esplanade Tanjung Harapan, di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Yang Dipertua MPK, Elya Marini Darmin dan Ahli Majlis MPK Zon N44A, Kamaruzaman Adnan.

Mohamad Yasid berkata, pihaknya komited meneruskan program kutipan data yang dibangunkan Institut Maritim Malaysia (MIMA) itu pada masa hadapan membabitkan kerjasama pelbagai pihak sama ada agensi kerajaan, swasta mahupun badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, pelbagai kajian dapat dijalankan berdasarkan laporan rekod itu khususnya dalam mengenal pasti punca sampah-sampah tertentu yang terdapat di pantai berkenaan.

“Kita akan kumpul dan ukur berapa kilogram (kg) sampah bagi setiap kategori yang berjaya dikutip. Jika kita dapati nilainya berkurang sepanjang tahun, ia sudah tentu memberi petunjuk positif bahawa ada perubahan dalam aspek kebersihan.

“Malah, ia mampu meningkatkan kesedaran semua pihak, terutama komuniti setempat akan kepentingan pemeliharaan dan pemuliharaan perairan pantai,” katanya.

Terdahulu, program selama sehari itu mendapat kerjasama Pejabat Ahli Dewan Negeri Selat Klang, Jawatankuasa Penduduk (JKP) Ahli Majlis Zon N44A, Rotary Club Klang, M.A.Y.C Kuala Langat, Kelab Retromania dan River Rangers MPK.

Bermula seawal jam 7 pagi, program itu disertai penuntut Lincoln University, Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sultan Suleiman dan Kolej Tingkatan Enam Sri Istana yang turut menjayakan aktiviti pembersihan di sepanjang pantai berkenaan.

Aktiviti menarik lain termasuk pameran agensi, kendera saji (food truck), pertandingan nyanyian jalanan (buskers), peragaan pakaian daripada barangan kitar semula, Santai Anak Klang Himpunan Motosikal@Tanjung Harapan dan pertandingan video pendek ‘Say No 2 Plastic’.


Pengarang :