BERITA UTAMAPBTSELANGOR

Tapak pelupusan sampah haram di Ulu Yam ditutup

SELAYANG, 13 OKT: Kegusaran segelintir penduduk berhubung tempat pelupusan sampah secara haram di Ulu Yam, di sini berakhir apabila tapak berkenaan ditutup Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam satu operasi yang diadakan kelmarin.

Bertindak atas aduan awam, tempat takungan air dan pagar di tanah Lot 46244 Jalan Ulu Yam, Batu 9 itu dirobohkan dalam operasi membabitkan 95 anggota penguat kuasa termasuk lima pegawai Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal dan Kesihatan MPS.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, tiga struktur bangsal yang menjadi tempat berteduh pekerja turut dirobohkan melalui operasi yang bermula pada 10 pagi hingga 12.30 tengah hari itu.

“Penguatkuasaan ini adalah di bawah Seksyen 46(1) a Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974. Kawasan lot ini masih dalam tindakan siasatan Pejabat Tanah dan Daerah (PTD) Gombak untuk tindakan di bawah Sekyen 127 Kanun Tanah Negara 1965 yang melanggar syarat nyata tanah.

“Selain itu, kita juga mengambil tindakan dengan mengorek tanah, membuat lubang serta halangan bongkah batu di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976,” katanya dalam kenyataan.

Mohamad Zin berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dalam isu membabitkan pencerobohan tanah dan tapak sampah haram di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan.

“Justeru, orang ramai dapat menyalurkan maklumat jika mengesan apa-apa aktiviti berkaitan pembuangan sampah haram di kawasan mereka.

“Ini akan memudahkan kita untuk menjalankan siasatan dan tindakan susulan selain dapat membuat pemantauan secara berkala,” katanya.

Katanya, tindakan tegas akan diambil MPS dan PTD Gombak terhadap mana-mana pemilik tanah jika didapati bersalah dalam isu terbabit.


Pengarang :