Amirudin Shari. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Selangor tunggu harga baharu rumah pemilikan asing

SHAH ALAM, 14 OKT: Kerajaan Negeri menunggu laporan dan cadangan daripada Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sebelum memutuskan harga hartanah yang berpatutan untuk pemilikan asing.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, setakat ini Selangor menetapkan harga paling tinggi RM2 juta untuk pemilikan asing selain memikirkan kesan sosial kepada masyarakat.

“Kita sedang melihat semula kesan penurunan harga tetapi dalam masa sama kita mahu melindungi harga rumah kerana Selangor adalah negeri yang meletakkan harga tertinggi untuk pemilikan asing sebanyak RM2 juta.

“Sejak sebulan lepas, saya sudah arahkan LPHS melakukan kajian semula terhadap angka, mungkin penurunan atau pengekalan (harga) tetapi belum diputuskan. Saya harap dalam tempoh dua atau tiga minggu lagi kita dapat keputusan atau cadangan oleh LPHS,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Perhimpunan Bulanan Jabatan-Jabatan Kerajaan Negeri Selangor Dihoskan Pejabat Daerah dan Tanah Hulu Langat di Auditorium Dewan Jubli Perak, hari ini.

Amirudin Shari bersama penjawat awam melakukan senaman regangan selepas merasmikan Bulan Sukan Negara Peringkat Selangor dalam Perhimpunan Bulanan Jabatan Kerajaan Negeri berlangsung di Dewan Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Katanya, penurunan harga hartanah untuk pemilikan aset yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 daripada RM1 juta kepada RM600,000 disifatkan rendah dan fokus keutamaan kini adalah memastikan rakyat memiliki rumah sendiri pada harga berpatutan.

Menteri Kewangan, Lim Guang Eng dalam pembentangan Belanjawan 2020, 11 Oktober lalu mengumumkan Kerajaan akan menurunkan nilai ambang bagi kondominium dan pangsapuri di kawasan bandar susulan lambakan hartanah tidak terjual yang dianggarkan berjumlah RM8.3 bilion pada suku kedua tahun 2019.

Dalam sidang media sama Amirudin menjelaskan, Kerajaan Negeri akan memberikan fokus kepada isu kesihatan dan keselamatan di samping memenuhi hasrat Smart State 2025.

“Kita akan fokus kesihatan dan keselamatan serta melihat bagaimana untuk penuhi pelan Smart State 2025 kerana kita ada lima tahun lagi.

“Sejak 2016 kita mulakan dengan pelan atas kertas. Sekarang saya rasa kena aktifkan pelan perancangan termasuk dana dan sebagainya,” katanya.


Pengarang :