Dato’ Sayuthi Bakar berucap sempena Majlis Pelancaran Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan Tahun 2020 di Ibu Pejabat MBPJ pada 30 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Sewa lesen kepada warga asing, peniaga berdepan tindakan

PETALING JAYA, 30 OKT: Peniaga tempatan di kawasan pentadbiran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bakal berdepan tindakan digantung lesen perniagaan jika dikesan menyewakan lesen mereka kepada warga asing.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, berdasarkan rekod diperoleh setakat ini melalui Sistem Pengesahan Identiti Peniaga (SPIP), pihaknya mengesan seramai 102 peniaga berlesen yang tidak mengusahakan perniagaan sendiri.

Katanya, tindakan itu wajar diambil sebagai langkah mengekang lambakan warga asing daripada terus mempelopori premis yang terdapat di kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) berkenaan.

“Kita tidak pernah mengeluarkan sebarang lesen perniagaan penjaja yang menggajikan pekerja asing termasuk warga asing itu sendiri kerana ia adalah dasar dan syarat terkandung dalam Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan.

“Bagi 102 peniaga yang sudah melanggar kesalahan berkenaan, kita akan membatalkan lesen kerana terbukti mereka melanggar syarat,” katanya pada sidang media Pelancaran Jom Bayar Lesen 2020 di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Mohd Sayuthi berkata, pihaknya akan terus memperhebatkan kerjasama dengan agensi berkaitan terutama Jabatan Imigresen bagi menjalankan pemeriksaan secara lebih kerap di lokasi tertentu.

“Peniaga diingatkan supaya tidak sesekali mengambil jalan mudah untuk mendapatkan pendapatan dengan menyewakan lesen ini kepada warga asing kerana kegiatan seumpama ini satu sikap yang tidak baik dan harus dihapuskan dalam masyarakat kita,” katanya.


Pengarang :