Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah mententeramkan mangsa kebakaran M. Ramany, 62, ketika mencemar duli berangkat melihat kemusnahan rumah yang terlibat dalam kebakaran rumah di Kampung Baru, Benta awal pagi tadi. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Agong lawat mangsa kebakaran di Kampung Baru Cina Benta

KUALA LIPIS, 30 OKT: Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini melakukan lawatan mengejut ke Kampung Baru Cina di Benta, Kuala Lipis yang memusnahkan 15 kediaman susulan kebakaran awal pagi tadi.

Seri Paduka berangkat ke Benta sejurus menerima keberangkatan tiba Raja-raja ke Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-255 di Istana Negara di Kuala Lumpur, pagi ini.

Tuanku tiba dengan helikopter di padang Sekolah Kebangsaan Benta pada 11.53 pagi sebelum sampai di kampung terbabit kira-kira 12 tengah hari menggunakan kenderaan SUV.

Kejadian yang berlaku kira-kira 1.08 pagi tadi menyebabkan 22 orang tinggal sehelai sepinggang, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah bertitah mengingatkan rakyat supaya berwaspada dan memberi perhatian kepada bangunan lama serta usang terutama pada aspek pendawaian elektrik yang boleh mendatangkan kemudaratan.

“Walaupun semua penghuni rumah selamat, ia adalah peringatan kepada kita betapa bahayanya kejadian ini yang boleh berlaku bila-bila masa sahaja jika kita tidak berhati-hati,” titah baginda.

Seri Paduka turut menzahirkan simpati dan berharap keluarga mangsa yang terlibat bersabar serta meminta semua pihak sama-sama memberikan bantuan.

“Pihak pejabat daerah dan pejabat yang berkaitan akan membuat laporan sewajarnya dan kita akan usahakan mencari sumber untuk membaiki harta (yang musnah) dalam kebakaran ini,” titah baginda.

Pada kunjungan itu, Al-Sultan Abdullah berkenan menyampaikan sumbangan kepada mangsa serta meninjau kawasan kediaman yang terbakar.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang Nor Hisham Mohammad ketika ditemui di tempat sama berkata punca kejadian masih dalam siasatan dan akan diketahui dalam waktu terdekat.

-BERNAMA


Pengarang :