Pengamal media mencuba aktiviti lasak yang disediakan Skytrex Sungai Congkak ketika Program Media Familiarization Trip 2019 Discover Hulu Langat anjuran Tourism Selangor, 5 Oktober 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI.
AGENDASUKANKINI

Skytrex Shah Alam dibuka kembali pada 2024

HULU LANGAT, 7 OKT: Skytrex Shah Alam yang ditutup akibat ribut pada Mac lalu dijangka kembali beroperasi dalam tempoh lima tahun lagi setelah pokok-pokok yang rosak kembali pulih.

Pemilik Skytrex Adventure, Azlan Idrus berkata, bagaimanapun orang ramai khususnya peminat sukan lasak masih boleh membuat pilihan dengan mengunjungi Skytrex Sungai Congkak.

Selain itu, dua lagi lokasi lain ialah Skytrex Melaka di Durian Tunggal dan Skytrex Langkawi di Kampung Kok.

“Kami menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai berhubung isu penutupan Skytrex di Shah Alam memandangkan ia menjadi tumpuan peminat sukan lasak dari dalam dan luar negara.

“Saya berharap peminat Skytrex Shah Alam bersabar kerana pembinaan pusat rekreasi ini amatlah menekankan aspek kelestarian alam sekitar termasuk penjagaan pokok yang sudah berusia puluhan tahun,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui ketika Program Media Familiarization Trip 2019 Discover Hulu Langat anjuran Tourism Selangor dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kajang, di Skytrex Sungai Congkak, di sini.

Skytrex Shah Alam yang dibuka pada 2013 pernah menarik lebih 40,000 pengunjung setahun.

Azlan berkata, Skytrex turut meletakkan tahap keselamatan yang tinggi bagi memastikan pelanggan berasa lebih selesa dan yakin ketika menyertai cabaran yang disediakan.

Katanya, antara cabaran disediakan ialah memanjat pokok setinggi sembilan meter dan juga flying fox.

“Pengunjung boleh membeli tiket secara terus melalui laman web www.skytrex-adventure.org dan memilih pelbagai peringkat cabaran yang disediakan,” katanya.


Pengarang :