Timbalan Menteri Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

TMM2020: Pelancaran perdana hujung tahun ini

KUALA LUMPUR, 30 OKT: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) akan membuat pelancaran perdana Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM2020) pada hujung tahun ini, kata Timbalan Menteri Motac, Muhammad Bakhtiar Wan Chik.

Beliau berkata selain itu, prapelancaran TMM2020 dengan kerjasama setiap negeri juga akan diadakan bermula Januari 2020.

Beliau berkata, pelbagai usaha akan dilaksana secara berterusan bagi mempergiat kempen TMM2020 dengan kerjasama semua pihak termasuk media, bloggers antarabangsa dan ahli Parlimen.

“Prapelancaran dengan kerjasama setiap negeri itu adalah bagi meningkatkan publisiti TMM2020, selain itu kita juga akan mengadakan majlis sambutan di lapangan terbang dan pintu-pintu masuk negara yang terpilih untuk menyambut pelancong pada hari pertama TMM2020.

“Kita juga akan buat program suai kenal bersama media, bloggers dan influencers (pempengaruh) antarabangsa serta agensi pelancongan luar negara, di samping satu sesi taklimat khas berkaitan pelaksanaan kempen TMM2020 akan diadakan pada 19 November di sini,” katanya pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang meminta Motac menyatakan tindakan yang telah dibuat kementerian itu untuk menarik 20 juta pelancong semasa kempen TMM2020.

Tambah Muhammad Bakhtiar, kerjasama dengan semua pihak itu akan memfokuskan kepada mempromosi pelancongan budaya yang mengandungi elemen kesatuan kaum dan kepelbagaian budaya.

Sempena TMM2020, Motac dengan kerjasama Biro Konvensyen dan Pameran Malaysia (MyCEB) ​berjaya mengesahkan bidaan bagi 38 acara perniagaan antarabangsa pada tahun depan.

“Melalui kerjasama ini bagi mempromosi TMM2020, kita akan dapat menyaksikan penyertaan 49,699 delegasi tempatan dan antarabangsa, serta bakal menghasilkan impak ekonomi berjumlah RM590 juta,” katanya.

Beliau berkata, imej negara pada masa kini adalah positif dan ia dapat dibuktikan apabila negara menerima pengiktirafan antarabangsa contohnya Kuala Lumpur dinobatkan pada kedudukan keenam bagi World’s Most Visited oleh Mastercard pada 2019.

– BERNAMA


Pengarang :