Dato’ Mohd Sayuthi Bakar melancarkan Sistem Pengesahan Identiti Peniaga (SPIP) sempena Majlis Pelancaran Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan Tahun 2020 di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ pada 30 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBPJ perkenal SPIP, tingkat pemantauan dan penguatkuasaan peniaga

PETALING JAYA, 30 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memperkenalkan Sistem Pengesahan Identiti Peniaga (SPIP) sebagai pendekatan meningkatkan tindakan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih cekap terhadap peniaga di kawasan pentadbiran berkenaan.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohd Sayuthi Bakar berkata, sistem itu digunakan untuk memudahkan semakan di lapangan terutama kepada usahawan mikro sama ada mengusahakan perniagaan sendiri mahupun terdapat penyalahgunaan lesen.

“Sistem ini akan memudahkan pengesahan melalui kad pengenalan dengan menggunakan cap jari pada alat cap jari mudah alih yang diintegrasikan dengan sistem e-lesen.

“Malah, ia memudahkan tindakan penguatkuasaan memandangkan laporan dapat terus dijana dan dicetak di lapangan,” katanya pada sidang media Pelancaran Jom Bayar Lesen 2020 di Bilik Gerakan, Ibu Pejabat MBPJ, di sini, hari ini.

Dato’ Sayuthi Bakar berucap sempena Majlis Pelancaran Kempen Jom Bayar Lesen Perniagaan Tahun 2020 di Ibu Pejabat MBPJ pada 30 Oktober 2019. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

Turut hadir, Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Johary Anuar dan Pengarah Jabatan Pelesenan MBPJ, Sharinaz Samsudin.

Mohd Sayuthi berkata, pihaknya membuat beberapa penambahbaikan proses pelesenan bagi meningkatkan tahap keberkesanan pengurusan lesen, selain memastikan semua syarat ditetapkan dipatuhi peniaga.

Katanya, perkara itu termasuk penetapan kadar minimum premium insurans liabiliti awam bagi permit kerusi meja iaitu RM100,000 berbanding RM500,000 sebelum ini.

“Keputusan ini dibuat bagi meringankan beban dan menggalakkan pelesen untuk memohon permit sementara meletakkan kerusi serta meja di luar premis makanan mereka.

“Di samping itu, kita mensyaratkan pengenaan cagaran lesen establisymen makanan sebanyak RM2,000 kepada pemilik lesen bermula bulan ini bagi permohonan baharu termasuk pemegang lesen sedia ada.

“Pelupusan cagaran akan dikenakan bagi premis yang diarah tutup untuk kali kedua atas kesalahan pelanggaran syarat lesen termasuk tindakan penutupan premis,” katanya.


Pengarang :