AGENSISELANGOR

ABIM Selangor komited lahir lebih ramai belia cakna

SHAH ALAM, 19 NOV: Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) Selangor terus komited dalam usaha melahirkan lebih ramai belia yang cakna dan prihatin akan rakyat di negeri ini.

Yang Dipertua ABIM negeri, Ahmad Fawwaz Ahmad Syukri berkata, pelbagai program berbentuk sukarelawan dianjurkan supaya golongan belia dapat mengisi masa lapang, sekali gus mengurangkan gejala sosial yang berlaku.

“Menerusi program ABIM, kita mahu membendung belia daripada terjebak untuk menerima atau memberi rasuah, salah guna kuasa, pecah amanah, korupsi dan lain-lain sejajar usaha Kerajaan dalam menangani masalah tersebut.

“ABIM Selangor komited dalam menjadikan wadah buat belia untuk bergiat aktif serta berpartisipasi dalam ruang sukarelawan, kemasyarakatan dan dakwah sebagai usaha membantu mengurangkan gejala sosial dan masalah belia,” katanya kepada SelangorKini.

Menerusi program terbaharu, Ahmad Fawwaz berkata, pihaknya menganjurkan program Hospital Volunteer Crew (HAVOC) 2019 yang diadakan di Hospital Serdang, Sabtu lalu.

Katanya, program bersiri dan konsisten itu membantu meningkatkan emosi dan mental pesakit dalam menghadapi ujian, selain memupuk semangat kesukarelawan dalam diri belia serta melahirkan rasa syukur dan insaf untuk menjalani kehidupan.

“Kita memberi latihan dan menyampaikan maklumat berkaitan aktiviti kesukarelawanan hospital dan kesihatan.

“Program ini juga membina jaringan kerjasama yang mantap antara pihak hospital dan semua sukarelawan sosial dalam usaha memberi sokongan emosi kepada pesakit termasuk pelawat,” katanya.

Selain menziarahi wad kanak-kanak dan meraikan hari lahir, ABIM Selangor turut menyampaikan sumbangan kepada pesakit asnaf serta membersihkan surau dan tandas.

Ahmad Fawwaz berkata, pihaknya kini merangka untuk mengadakan program
Diriku Permata Berharga (DERMAGA) yang menumpukan kepada soal pendidikan seksual reproduktif khasnya buat remaja dan belia dengan kerjasama Ahli Dewan Negeri Selangor.


Pengarang :