AGENDANASIONAL

Dana RM375 juta mantapkan kemajuan Islam

SHAH ALAM, 1 NOV: Selangor komited untuk memantapkan lagi agenda kemajuan agama Islam menerusi Belanjawan #Selangor2020, kata Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari.

Untuk itu, Kerajaan Negeri memperuntukkan RM375.78 juta termasuk bagi elaun jawatankuasa masjid dan surau, peruntukan mengurus Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dan peruntukan pembangunan JAIS.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan RM3 juta untuk menaik taraf Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah termasuk tempat letak kereta dan ruang solat

Kerajaan Selangor turut mengumumkan pembinaan dua masjid iaitu Masjid Nurul Amin Merbau Sempak, Sungai Buloh dan Masjid Jamek Al-Hikmah, Batu 20, Kuang melalui kerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

Amirudin berkata Kerajaan Negeri juga menampung RM8 juta bagi membina semula Masjid Nurul Amin Merbau Sempak yang kos keseluruhannya dianggar RM12.45 juta manakala RM4.45 juta ditanggung Kerajaan Persekutuan.

“Sementara Masjid Jamek Al-Hikmah adalah masjid baharu yang akan dibina dengan anggaran kos sebanyak RM11 juta. Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM5 juta bagi pembinaan masjid ini.

“Sehubungan itu, Kerajaan Negeri akan menampung kos pembinaan sebanyak RM6 juta,” katanya.

Selain itu, Kerajaan Negeri turut memperuntuk RM1 juta bagi menambah prasana sebagai lambang kecanggihan kegiatan pembangunan ilmu astronomi di negeri ini.


Pengarang :