EXCOSELANGOR

DNS gamat, Speaker ditegur bawa botol air plastik

SHAH ALAM, 7 NOV: Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini gamat seketika selepas Speaker Ng Suee Lim ‘ditegur’ kerana masih membawa botol air plastik ketika sidang berlangsung.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata teguran itu susulan Kerajaan Negeri pada 1 Julai lalu melarang semua premis kerajaan menggunakan plastik.

“Oleh sebab itu, saya tidak pasti kenapa Speaker masih menggunakan botol plastik ini,” katanya berseloroh dan disambut dengan sorakan Ahli Dewan Negeri (ADN).

Bagaimanapun, Suee Lim menerima teguran itu dan bertekad akan mengambil maklum nasihat terbabit.

“Terima kasih atas nasihat, ia akan ditambah baik pada masa hadapan,” katanya yang juga ADN Sekinchan.

Pada masa sama, Loy Sian turut berharap kakitangan kerajaan memberi kerjasama untuk mengurangkan penggunaan plastik.

“Wakil rakyat juga sepatutnya menjadi tauladan kepada rakyat kerana kempen ini bermula di bangunan kerajaan termasuk tidak membawa botol,” katanya.

Kerajaan Selangor menguat kuasakan kempen larangan penggunaan plastik sekali guna di semua jabatan dan agensi kerajaan mulai 1 Julai 2019 bagi menangani masalah alam sekitar.


Pengarang :