BUDAYARENCANA

Kasut ‘rare’ buka laluan temu bintang bola

Siapa sangka perniagaan membekalkan kasut bola lama yang boleh dianggap sebagai item ‘rare’ buat pengemar sukan bola sepak mampu menjana keuntungan lumayan.

Perkara itu dibuktikan oleh dua anak muda berusia 19 tahun dari England Jake Self dan Cameron Sangster apabila idea perniagaan mereka yang mengumpulkan kasut bola keluaran lalu dari pelbagai jenama mendapat sambutan sehingga menarik perhatian pemain bola sepak terkemuka dunia.

Bermula dengan pembelian kasut bola terpakai sekitar £40 (RM215), proses baik pulih (restore) yang dilakukan membolehkan ia dijual semula pada harga hampir £400 (RM2,154) menerusi laman sesawang rareboots4u.com.

Cameron berkata, segalanya bermula ketika beliau berusia sepuluh tahun dan menyimpan impian untuk bertemu pemain bola sepak terkemuka dunia, Jack Wilshare apabila menginjak dewasa.

“Disember lalu, saya dan Jake menaiki keretapi dan saya terlihat paparan di memori Facebook 10 tahun lalu yang saya tulis tidak sabar untuk melihat Jack Wilshare beraksi.

“Pada hari itu sebenarnya, saya dalam perjalanan ke rumahnya (Wilshare) untuk bertemu dan menghantar sepasang kasut bola,” katanya.

Dari seorang idola, pemain tengah West Ham United itu kini menjadi antara pelanggan tetap mereka hasil bantuan seorang rakan sepasukan Wilshare, Arthur Masuaku.

Aktivti mereka sejak tiga tahun lalu hanya disedari posmen dan kini jumlah kotak kasut yang disimpan semakin tinggi.

Petunjuk untuk mereka mendapatkan pelanggan terutama dalam kalangan pemain profesional juga bertambah kerana RareBoots4U kini sudah menjadi pembekal utama kepada bintang bola sepak dunia seperti Karim Benzema, Pierre-Emerick Aubameyang, Xavi, Ivan Rakitic dan Joao Felix.

Cameron menjelaskan, sebahagian daripada kasut bola sukar untuk ditemui malah harga semasa turut melonjak berdasarkan kualiti.

Pemain Tottenham Hotspur, Serge Aurier baru-baru ini membayar lebih £500 (RM2,693) untuk sepasang kasut yang sukar untuk ditemui semula masa kini.

“Saya tidak percaya kedudukan kami sekarang berbanding dahulu. Kami berdepan cabaran untuk meluaskan perniagaan luar South Devon dengan pembekal utama kasut bola berskala besar,” katanya.

Bagi Jake, beliau percaya permintaan terhadap kasut bola lama sememangnya tinggi kerana peminat sentiasa mencarinya di eBay malah sehingga kini beliau tidak percaya beberapa pemain terkemuka dunia menghantar pesanan mesej untuk membelinya.

“Kami mengambil gambar dengan latar belakang dinding kasut bola beserta kotak dan memuat naiknya di Instagram bersama saiz, keadaan serta harga.

“Itu model perniagaan kami. Kami juga lihat ramai orang berkongsi mengenai kami (RareBoots4U) di Facebook dan Twitter,” katanya.

Katanya, strategi perniagaan mereka mudah dengan meminta pembeli untuk mempromosikan produk di laman sosial, sekali gus menarik lebih banyak pengikut.

Strategi itu dilihat berhasil apabila berjaya mendekati pemain Chelsea, Ethan Ampadu dan menawarkan sepasang kasut bola dengan syarat Ampadu mempromosikan perniagaan mereka di laman sosial malah tindakan itu turut menjadikan pemain Arsenal, David Luiz dan penyerang Atletico Madrid, Alvaro Morata sebagai pelanggan utama.

Cameron memberitahu, Alvaro Morata telah membantu mereka berhubung dengan ramai lagi pemain lain.

“Pernah satu ketika selepas bangun pagi saya mendapat mesej daripada Ivan Rakitic. Kami membawa beberapa pasang kasut ke rumah beliau dan kami dibawa ke Nou Camp untuk menyaksikan perlawanan Barcelona.

“Kami sentiasa mendapat panggilan daripada pemain lain kerana kasut yang mereka cari tak dapat lagi berada di pasaran. Nike dan Adidas tak boleh bekalkan (kasut bola lama) kepada pemain mereka sendiri, jadi mereka datang ke kami.

“Bermula dengan ‘garage sale’ sekarang telah menjadi satu fenomena,” katanya.

Jake dan Cameron enggan mendedahkan sumber mendapatkan kasut bola tetapi pemain memilih untuk membayar sepasang kasut lama daripada memakai model kasut baru kerana bahan digunakan bagi but moden adalah seakan plastik dan juga oleh kerana memori yang terdapat pada kasut bola lama tersebut.

Katanya, nostalgia yang terdapat pada kasut tersebut membuatkan beberapa pemain seperti Karim Benzema tidak mengendahkan kontrak sedia ada bersama jenama terkemuka seperti Adidas.

“Apabila mereka melihat sepasang kasut bola yang mereka pernah pakai ketika mereka kecil, mereka tidak dapat menolak. Dari situ kami tahu apa yang kami dapat capai, tetapi kami tidak menyangka usaha ini akan menjadi besar.

“Benzema boleh disaman oleh Adidas jika beliau tidak memakai model but yang terkini, tetapi dia tetap memakai model F50 klasik pada musim lepas.

“Ada pemain yang akan memakai semasa latihan sahaja dan ketika kami pergi ke Madrid untuk berurusan dengan marketing agen Xavi, kami diberitahu bahawa Adidas tidak gemar dengan perniagaan mereka (RareBoots4U),” katanya,

Menyimpan impian untuk berpindah ke London dan membuka sebuah gudang yang akan menjana pendapatan yang konsisten, Jake dan Cameron percaya mereka tidak berdepan masalah mendapatkan pemain sasaran seperti Messi dan Cristiano Ronaldo walaupun tahu perkara itu tidak mudah dicapai.

Rencana ini diolah daripada laporan Daily Mail Online (15 Oktober 2019)


Pengarang :