BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

EXCO: Bas percuma tidak dimonopoli warga asing

SHAH ALAM, 4 NOV: Kurang 10 peratus warga asing didapati menggunakan perkhidmatan Bas Smart Selangor yang ditawarkan secara percuma kepada rakyat.

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han berkata kajian kepuasan penumpang itu sekali gus menepis dakwaan kemudahan terbabit dimonopoli warga asing.

“Berdasarkan kajian bagi kawasan Majlis Bandaraya Shah Alam, hanya sembilan peratus penumpang warga asing menggunakan perkhidmatan itu.

“Sementara statistik oleh Majlis Daerah Hulu Selangor mendapati hingga September tahun ini hanya dua peratus golongan itu menggunakan Bas Smart Selangor.

Ng Sze Han ketika sesi soal jawab Mesyuarat Ketiga Penggal Kedua di Bangunan Dewan Negeri Selangor, Shah Alam pada 4 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Jadi boleh disimpulkan bahawa dakwaan mengatakan lebih ramai bukan warganegara menggunakan perkhidmatan khas buat rakyat Selangor adalah kurang tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan berhubung Bas Smart Selangor pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS), di sini hari ini.

Sze Han (PAKATAN-Kinrara) berkata Kerajaan Negeri sentiasa bersedia untuk memastikan penduduk Selangor lebih selesa menggunakan bas percuma.

Justeru, katanya Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari dalam belanjawan negeri lalu mengumumkan caj RM1 bagi warga asing yang ingin menggunakan perkhidmatan itu.

“Kemungkinan tidak lama kami akan amalkan kaedah tanpa tunai untuk atasi lebihan penumpang warga asing,” katanya.


Pengarang :