Dr Dzulkefly Ahmad (dua, kanan) beramah mesra bersama seorang pengunjung yang mendapatkan pemeriksaan kesihatan secara percuma pada Mini Karnival Gaya Hidup Sihat Peringkat DUN Paroi, Senawang pada 10 November 2019. -Foto BERNAMA
AGENDA NASIONAL

Hospital Rembau mula operasi Januari 2020

SEREMBAN, 10 NOV: Hospital Rembau dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun hadapan, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Bagaimanapun beliau berkata, perkhidmatan bahagian kecemasan dan unit wad bersalin mungkin akan dibuka terlebih dahulu selewat-lewatnya bulan hadapan.

Dr Dzulkefly berkata ketika ini proses kemasukan peralatan perubatan dan bukan perubatan seperti perabut, katil dan sebagainya masih dijalankan termasuk proses ujian dan pentauliahan peralatan perubatan.

“Kita sedia maklum Hospital Rembau ini memang sangat dinanti-nantikan warga Rembau untuk mereka mendapatkan perkhidmatan kesihatan berhampiran dengan kawasan kediaman mereka.

“Sekarang proses kemasukan alat-alat perubatan dan bukan perubatan antaranya seperti perabut serta proses ujian sedang dijalankan.

“Proses pentauliahan peralatan perubatan lebih 7,000 alat perubatan dan bukan perubatan juga sedang dijalankan,” katanya .kepada pemberita dalam sidang media selepas merasmikan Karnival Gaya Hidup Sihat Dewan Undangan Negeri Paroi di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Dr Dzulkefly berkata proses ujian dan pentauliahan peralatan perubatan dijangka mengambil masa sekurang-kurangnya dua bulan.

Sebelum ini Dr Dzulkefly berkata Hospital Rembau akan mula beroperasi Jun lepas sekali gus menjadi pelengkap kepada rangkaian hospital awam di Negeri Sembilan.

Bagaimanapun pada Julai lalu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, pembukaan Hospital Rembau yang dijadual memulakan operasinya pada Jun terpaksa ditangguhkan pada akhir tahun ini.

Katanya penangguhan operasi itu tidak dapat dielakkan walaupun pembinaan sudah siap 99 peratus kerana perlu menjalankan pemeriksaan bagi memastikan segala kelengkapan hospital mencukupi termasuk kelengkapan dan peralatan hospital.

– BERNAMA


Pengarang :