Amirudin Shari semasa membentangkan Belanjawan Selangor 2020 di Dewan Negeri Selangor pada 1 November 2019. Foto ARKIB SELANGORKINI
AGENDANASIONAL

Inisiatif Smart Selangor diteruskan

SHAH ALAM, 1 NOV: Inisiatif Smart Selangor akan diteruskan dengan peruntukkan RM50 juta dan menyasarkan kemajuan projek sebanyak 46 peratus menjelang akhir tahun 2020.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata Kerajaan Negeri memperuntukkan RM300 juta sepanjang enam tahun bagi mencapai gagasan Negeri Pintar Utama (Premier Smart State) pada 2025 dan setakat ini sudah mencapai sasaran 26 peratus.

“Kita yakin pelabur serta sektor swasta akan turut bersama-sama Kerajaan Negeri menyokong usaha ini dengan nisbah sokongan dana adalah 1:1. Ini menjadikan unjuran nilai keseluruhan pembangunan Smart Selangor adalah RM600 juta.

“(Penubuhan) Command Centre dijangka mampu menganalisa dan melakukan cerapan daripada sistem pengumpulan data dan menghubungkan dengan beberapa agensi seperti polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan agensi keselamatan lain.

“Tumpuan juga diberikan kepada Pembangunan ‘Selangor Gigabit Network’ (SeGNet) dan ‘Hybrid Data Centre’ yang bakal memperkenalkan penggunaan jaringan intranet Kerajaan berkelajuan Gigabit dan juga menerajui penggunaan teknologi pengkomputeran awan untuk tujuan ‘pemulihan data ketika bencana’.

“Selain itu, pembangunan beberapa ekosistem pengupayaan ekonomi seperti ekosistem ekonomi nirtunai, platform digital IKS, pengkalan data pelancongan, platform pasaran kerja untuk kegunaan IKS dan juga rakyat terbanyak.

“Tidak ketinggalan meneruskan penganjuran Selangor International Cyber Games 2020,” katanya ketika membentangkan Belanjawan#Selangor2020 di Dewan Negeri Selangor (DNS) di Bangunan Annex, hari ini.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri juga akan menyediakan geran inovasi sebanyak RM600,000 untuk pembangunan teknologi ‘Kecerdasan Buatan’ (Artificial Intelligence) bagi menggalakan pihak swasta dalam dan luar negara memulakan kajian serta pembangunan bersama para penyelidik tempatan.

“Bagi merancakkan pembudayaan akar umbi dan penglibatan generasi muda terhadap pembinaan negeri pintar, setiap DUN digalakkan untuk meneroka solusi pintar dalam memberi khidmat kepada rakyat.

“Sejumlah RM100,000 disediakan bagi tujuan ini untuk pemenang solusi terbaik. Pentadbiran ini yakin dapat mencapai sasaran 46 peratus kemajuan projek dan program Smart Selangor menjelang akhir tahun 2020,” katanya.


Pengarang :