AGENDABERITA UTAMANASIONAL

#Selangor2020 peruntuk RM2.33 bilion, pembangunan RM1.13 bilion

SHAH ALAM, 1 NOV: Kerajaan Negeri memperuntukkan anggaran perbelanjaan RM2.33 bilion dalam Belanjawan #Selangor2020 dengan RM1.13 bilion atau 48.56 peratus untuk Belanja Pembangunan sementara RM1.20 bilion atau 51.44 peratus bagi Belanja Mengurus.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Belanjawan 2020 dijangka mengalami defisit RM133 juta sedikit menurun berbanding RM360 juta pada 2019.

“Pengalaman belanjawan yang lalu membuktikan perbelanjaan berhemah, memperkukuh budaya kerja cekap dan berintegriti dan menutup ruang pembaziran serta ketirisan telah berjaya mengurangkan belanjawan defisit kepada satu jumlah yang munasabah,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2020 di Dewan Negeri Selangor, hari ini.

Amirudin berkata, segala usaha yang diambil Kerajaan Negeri menunjukkan hasil positif dengan peningkatan kutipan hasil berbanding tahun lalu.

Katanya, prestasi kewangan negeri setakat 18 Oktober 2019 adalah baik yang menyaksikan kedudukan rizab semasa negeri RM2.32 bilion dengan prestasi Belanja Pembangunan mencapai 69.48 peratus daripada RM 1.4 bilion berbanding 68.16 peratus daripada RM 1.66 bilion pada tempoh sama pada 2018.

“Prestasi Belanja Mengurus mencatatkan 68.05 peratus daripada RM 1.28 bilion Peruntukan Mengurus yang disediakan bagi 2019 berbanding 72.49 peratus daripada peruntukan RM 1.46 bilion pada tempoh sama 2018 dengan kutipan sebenar hasil negeri 2018 RM1.99 bilion,” katanya.

Sementara itu, Amirudin berkata, Kerajaan Negeri menganggarkan kutipan Hasil bagi 2020 berjumlah RM2.20 bilion dengan penyumbang utamanya adalah Premium Tanah iaitu RM968.4 juta bersamaan 44.02 peratus diikuti hasil Cukai Tanah iaitu RM 568.21 juta (25.83 peratus), manakala penyumbang ketiga adalah daripada Pemberian Persekutuan iaitu RM224.84 juta (10.22 peratus).

“Pembangunan fizikal masih terus menjadi nadi utama belanjawan 2020 dengan 31.2 peratus disediakan bagi menampung perbelanjaan pembangunan infrastruktur manakala 29.9 peratus pula disediakan bagi perbelanjaan pembangunan ekonomi.

“Peruntukan yang disediakan ini adalah bagi memacu pembangunan ekonomi Selangor untuk terus menjadi sebuah negeri maju yang sesuai untuk didiami. Selain itu, Kerajaan Negeri juga akan memastikan Selangor terus kekal menjadi nadi pembangunan negara dan paksi kepada ekonomi nasional,” katanya.

Belanjawan Selangor 2020 dengan temanya Selangor Negeri Unggul, Kehidupan Bermartabat menggariskan lima strategi.

Ia membabitkan startegi Menjana Pertumbuhan dan Pemberdayaan Ekonomi Negeri, Merencana Agenda Pendidikan Unggul, Mewujudkan Selangor yang Selamat, Sihat dan Sejahtera, Menjamin Kelestarian Alam Sekitar serta Menjuarai Kemampanan Sosial.


Pengarang :