EXCOSELANGOR

Laksana audit pastikan tandas OKU boleh guna

SHAH ALAM, 6 NOV: Tandas awam dalam bangunan di Selangor akan diaudit bagi memastikan kemudahan yang dikhaskan kepada Orang Kurang Upaya (OKU) boleh digunakan golongan terbabit.

EXCO Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita Dan Keluarga, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, hal ini berikutan terdapat aduan bahawa tandas OKU dijadikan stor menyimpan barang.

“Kita sedang merancang adakan audit di bangunan dalam Selangor bagi memastikan tandas OKU boleh digunakan kerana ada yang maklumkan kemudahan itu dijadikan stor menyimpan barang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Perbahasan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2020 di DNS di sini, hari ini.

Ketika ditemui SelangorKini, Mariah menjelaskan langkah mengaudit tandas OKU itu membabitkan kesemua jenis bangunan secara berpeingkat dan dimulakan di bangunan kerajaan terlebih dahulu.

Mariah berkata, selain dijadikan stor, terdapat sesetengah tandas OKU dikunci menyebabkan golongan terbabit terpaksa meminta kunci kepada pihak pengurusan bangunan terlebih dahulu.

Selain membabitkan kemudahan tandas OKU, Siti Mariah turut menyentuh isu pelekat kenderaan untuk ahli keluarga OKU.

Katanya, pelekat khas itu sepatutnya boleh digunakan oleh ahli keluarga terdekat masing-masing bagi memudahkan mereka membawa OKU.


Pengarang :