EXCOSELANGOR

PPR Lembah Subang 1: Persekutuan selesai isu, LPHS ambil alih

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerajaan Persekutuan perlu menyelesaikan segala isu membabitkan pengurusan Program Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Damansara terlebih dahulu sebelum menyerahkan bangunan itu kepada Kerajaan Negeri.

EXCO Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Talha berkata, Mesyuarat EXCO pada 16 Oktober lalu bersetuju bahawa Lembaga Perumahan Hartanah Selangor (LPHS) mengambil alih PPR berkenaan bagi pihak Kerajaan Negeri.

“Persetujuan tersebut turut meliputi pelepasan tanah Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) berkeluasan 19.126 ekar iaitu tapak bangunan PPR Lembah Subang 1 oleh Kerajaan Persekutuan kepada Kerajaan Negeri tanpa sebarang kos,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2020 di Dewan Negeri Selangor (DNS), hari ini.

Katanya, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) telah mengadakan perbincangan bersama Jabatan Perumahan Negara, LPHS dan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Selangor (PTGS) pada 25 Oktober lalu khusus bagi membincangkan perincian terma-terma dan tindakan susulan sebelum penyerahan pengurusan serta pelepasan tapak PPR Lembah Subang 1 dilakukan.


Pengarang :