AGENDANASIONAL

Liputan fiberisasi Selangor dibuat secara berperingkat

SHAH ALAM, 1 NOV: Pelaksanaan liputan infrastruktur fiberisasi di seluruh Selangor akan dilaksanakan secara berperingkat dalam masa tiga tahun bermula dari suku keempat 2019 sehingga akhir Disember 2021.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan #Selangor2020 berkata, hasil daripada pembinaan infrastruktur digital di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) akan membolehkan rakyat Selangor mendapat akses kepada perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti dan seterusnya dapat merebut peluang di dalam ekonomi digital.

Katanya, pelaksanaan NFCP di Negeri Selangor adalah amat penting bagi menjana pertumbuhan ekonomi negeri dengan jalur lebar minimum adalah 30 Mbps dan boleh mencecah 1 Gbps.

Beliau berkata, dijangkakan 70 peratus kawasan sekolah, hospital, perpustakaan, balai polis dan pejabat pos di Selangor juga akan dihubungkan dengan rangkaian gentian optik menjelang tahun 2022.

“Ketersediaan kelajuan Gigabit di kawasan perindustrian terpilih menjelang tahun 2020 antara yang akan menerima manfaat ialah Kawasan Perindustrian Bukit Jelutong, Kawasan Perindustrian Bukit Beruntung dan Techno Industrial Park, Klang,” katanya.


Pengarang :