Busana muslimah kian mendapat tempat di seluruh dunia dan menyumbang kepada pendapatan negeri juga negara. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
AGENSIBERITA UTAMASELANGOR

Martabat busana santun melalui Selangor Modest Fashion 

PETALING JAYA, 7 NOV: Fesyen busana santun melalui penganjuran Selangor Modest Fashion dilihat mampu mendukung industri pakaian kreatif yang tumbuh pesat pada kadar 12 peratus setahun.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata industri fesyen turut menyumbang kepada pendapatan negeri dan dijangka meningkat dari RM3.5 bilion kepada 5.5 bilion menjelang 2023.

“Setiap tahun bakat baru dalam industri fesyen dicungkil dan Selangor khususnya Bangi dan Shah Alam sentiasa dikaitkan dengan busana santun, oleh itu kita seharusnya pantas merebut peluang bagi mengetengahkan segmen ini dalam industri fesyen.

“Untuk makluman pada 2015, wanita di seluruh dunia membelanjakan sejumlah USD44 bilion bagi busana santun,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media ‘prelude’ Selangor Modest Fashion bertempat di Sunway Resort Hotel and Spa, di sini, malam tadi.

Berangkat merasmikan acara itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah ibni Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Invest Selangor, Dato’ Hasan Azhari Idris dan wakil Selangor Modest Fashion, Dr Zulikhwan Ayub.

Turut hadir ialah pereka terkenal, Tom Abang Saufi, perunding fesyen terkenal, Zaihani Mohd Zain dan Pengasas KL Fashion Week, Andrew Tan.

Amirudin berkata secara peribadi beliau gembira program berkenan berjaya dilaksana setelah idea asalnya diangkat sewaktu beliau memegang portfolio  EXCO usahawan.

“Saya melihat trend busana santun ini tidak wajar ditinggalkan, sewaktu menemani isteri membeli-belah, saya melihat busana santun ini menjadi pilihan wanita.

“Kini program berkenaan sudah menjadi realiti dan membanggakan apabila ia mampu mewujudkan perintis baru dalam industri sama,” katanya.


Pengarang :