PENDIDIKANSELANGOR

Masalah remaja, kanak-kanak tidak sekolah perlu dibantu NGO

SHAH ALAM, 18 NOV: Badan bukan kerajaan (NGO) berteraskan pendidikan perlu berganding bahu dengan Kerajaan Negeri mahupun Persekutuan bagi mengatasi masalah remaja dan kanak-kanak tidak bersekolah di Selangor.

Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (PEPIAS), Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata, peranan NGO adalah menjadi orang tengah di antara kerajaan dan masyarakat supaya membolehkan kumpulan itu mendapat maklumat tepat sekali gus mengatasi masalah keciciran.

“Contohnya masih ramai yang tidak tahu mengenai Program Inisiatif Kemahiran Teknikal dan Ikhtisas Smart Selangor (IKHTISASS) ditawarkan Kerajaan Negeri, sedangkan ia adalah di antara bidang alternatif yang boleh diterokai remaja masa kini sekiranya kurang berminat dengan aliran pendidikan lain.

“Kelemahan akses atau penyaluran maklumat khusus kepada ibu bapa perlu dibantu NGO berteraskan pendidikan khususnya yang dipimpin anak muda.

“Dalam mengejar Revolusi Industri 4.0 serta ke arah pembangunan Negeri Pintar, usaha pendidikan harus dipandang serius dan dibangunkan secara kolektif,” katanya kepada SelangorKini.

Pada 13 November lalu, Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, Selangor mencatat 11,031 pelajar sekolah menengah tidak meneruskan pengajian ke sekolah, dan daripada jumlah itu, seramai 183 pelajar bekerja, berhenti sekolah (10,094), berkahwin (19), kemiskinan (sembilan) dan masalah keluarga (123).

Katanya, antara faktor lain ialah sukar ke sekolah (43), takut ke sekolah (11) dan tidak berminat ke sekolah (549).

Sementara itu, 1,250 pula adalah jumlah bagi murid sekolah rendah yang tidak meneruskan pembelajaran, iaitu tujuh bekerja, berhenti sekolah (863), berkahwin (dua) dan kemiskininan (15).

Mereka turut berdepan masalah keluarga (198), sukar ke sekolah (29), takut ke sekolah (lapan) dan tidak berminat ke sekolah (128).

Mengulas lanjut, Ahmad Fahmi berkata, PEPIAS memandang serius dengan masalah keciciran pendidikan dimaklumkan Dato’ Menteri Besar berkenaan.

“Melalui pengamatan kasar dan tinjauan bersama beberapa NGO lain, antara faktor pelajar tidak berminat ialah kemiskinan dan masalah keluarga.

“Pada masa sama, tiada warganegara serta masalah sosial di kawasan sekitar juga menjadi penyumbang. Oleh itu PEPIAS mengajak semua pihak untuk meneruskan fokus menggiatkan lagi usaha kesedaran kepentingan untuk melanjutkan pelajaran di kalangan masyarakat setempat,” katanya.


Pengarang :