Amirudin Shari (tengah) disertai V Ganabatirau dan Datuk Abdul Rashid Asari bersama tetamu lain ketika Sambutan Perayaan Hari Deepavali 2019 peringkat Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Sungai Pelek, Sepang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
BERITA UTAMASELANGOR

MB: PAKATAN kekal tadbir urus, lawan politik adu domba

SEPANG, 17 NOV: Pakatan Harapan (PAKATAN) berpegang teguh pada prinsip untuk mengekalkan tadbir urus lebih baik dalam memenuhi harapan dan keperluan rakyat secara adil tanpa meminggirkan mana-mana kaum.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata, PAKATAN mampu menerajui kerajaan pusat dengan mencipta lebih banyak kejayaan pada penggal hadapan sekiranya prinsip itu dikekalkan.

“Bukan mudah untuk kekal (prinsip) dan menolak politik populis perkauman, namun saya percaya kebenaran yang tertonjol pada 2018 kita dapat teruskan (penggal hadapan).

“Tetapi, dengan syarat kita tunaikan segala tanggungjawab kepada rakyat termasuk memberikan kemakmuran dan kesejahteraan untuk mereka,” katanya.

Amirudin Shari berucap ketika Sambutan Perayaan Hari Deepavali 2019 peringkat Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Sungai Pelek, Sepang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Sambutan Perayaan Deepavali 2019 peringkat Selangor di Dewan Orang Ramai, Sungai Pelek di sini, malam tadi.

Turut hadir, EXCO Pemberdayaan & Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin, V Ganabatirau; EXCO Kebudayaan & Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan, Datuk Abdul Rashid Asari serta Ahli Dewan Negeri Sungai Pelek, Ronnie Liu.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, politik adu domba berasaskan perkauman dan hasutan harus dilawan kerana dibimbangi akan mencetuskan pergaduhan seterusnya menggugat keharmonian negara.

Katanya, membezakan aras dan kedudukan politik berdasarkan kaum bukan amalan kerajaan PAKATAN, khususnya di Selangor.

Amirudin Shari (tengah) menerima cenderahati ketika Sambutan Perayaan Hari Deepavali 2019 peringkat Negeri Selangor di Dewan Orang Ramai Sungai Pelek, Sepang pada 16 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI

“Kalau ikut perkembangan terkini, politik perkauman sudah popular kembali. Pada 2018, orang sudah tinggalkan politik kaum dan sempit, tetapi tahun ini seolah-olah mereka mendapat vitamin baharu yang muncul menjadi arus perdana.

“Bagaimanapun, PAKATAN perlu bersikap dengan prinsip bahawa kita menolak politik sempit kerana Malaysia bukan negara satu kaum, sebaliknya ia dihuni melalui kesepakatan semua kaum,” katanya.

Terdahulu, kira-kira 1,000 masyarakat setempat pelbagai kaum hadir memeriahkan sambutan perayaan itu dan mereka dihiburkan dengan pelbagai persembahan antaranya tarian tradisional masyarakat India serta nyanyian.


Pengarang :