Menteri Besar Selangor, Dato’ Amirudin Shari
BERITA UTAMASELANGOR

MB ke Barcelona, wakil negeri ekspo bandar pintar

SHAH ALAM, 17 NOV: Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari bakal mengetuai delegasi Kerajaan Negeri ke Barcelona, Sepanyol sebagai memenuhi jemputan ke Kongres Bandar Pintar Sedunia (Smart City Expo World Congress), hari ini.

Beliau berkata, jemputan itu satu pengiktirafan besar buat Selangor apabila menjadi satu-satunya negeri di Malaysia dipanggil untuk menghadiri persidangan itu.

“Di Barcelona, kita (Selangor) mendapat jemputan daripada jawatankuasa atau penganjur persidangan bandar pintar.

“Malah, hanya sebahagian negara dijemput sebagai negara manakala Selangor dijemput sebagai negeri ke ekspo terbabit,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Anugerah Kampung Tradisi Terbaik Selangor di Hotel Acapella di sini, semalam.

Amirudin berkata, jemputan itu jelas menandakan kewujudan Selangor sebagai bandar pintar disedari umum.

“Jemputan ini satu pengiktirafan dan sebagai tanda penghargaan kewujudan Selangor dalam merealisasikan usaha ke arah bandar pintar.

“Malah, menerusi jemputan ini setiap negara atau negeri terlibat boleh bertukar pandangan dan berkongsi pengalaman ke arah usaha merealisasikan tempat masing-masing ke arah bandar pintar,” katanya.


Pengarang :