PBTSELANGOR

MPS roboh enam gerai, rampas haiwan peliharaan

RAWANG, 14 NOV: Gara-gara mendirikan struktur pembinaan secara haram, enam pemilik gerai di Taman Setia, di sini, terpaksa berputih mata apabila premis mereka dirobohkan dalam satu operasi bersepadu dijalankan Majlis Perbandaran Selayang (MPS), hari ini.

Operasi perobohan bermula kira-kira jam 9.30 pagi itu diadakan bersama Polis Diraja Malaysia, Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) dan Jabatan Perhilitan Daerah Gombak hasil maklumat diterima orang awam.

Pengarah Jabatan Korporatnya, Mohamad Zin Masoad berkata, operasi itu diketuai Unit Khas, Jabatan Penguatkuasa dan Keselamatan MPS dengan kekuatan 47 staf dalaman termasuk tujuh staf dari jabatan luar.

Katanya, pihaknya turut merobohkan dua garaj kenderaan premis di bawah Sekyen 46(1)a Akta Jalan, Parit dan Bangunan 1974 menerusi operasi selama hampir tiga jam itu.

“Kita juga membuat sitaan terhadap premis-premis terbabit antaranya kedai runcit, gerai jualan sate, kedai makan dan stor menyimpan tong gas.

“Tindakan dibuat di bawah Akta Undang-Undang Kecil Penjaja (MPS) 2007 atas kesalahan beroperasi tanpa lesen penjaja yang sah daripada MPS.

“Manakala, sitaan terhadap stor menyimpan tong gas dibuat dibawah Seksyen 3 Undang-Undang Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (MPS) 2007,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohamad Zin berkata, Jabatan Perhilitan turut mengambil tindakan dengan merampas beberapa jenis haiwan peliharaan yang didakwa mencetuskan kacau ganggu di sekitar kawasan terbabit.

“Antara haiwan dirampas adalah angsa, itik, ayam dan monyet yang menyebabkan gangguan di kawasan pangsapuri di Taman Setia Rawang.

“Tindakan ini dibuat berdasarkan Seksyen 82 Akta Kerjaan Tempatan 1976 atas kesalahan menyebabkan kacau ganggu,” katanya.

Pada masa sama, katanya, kawasan taman berkenaan menjadi lokasi hotspot memandangkan lima kes wabak denggi dilaporkan setakat ini.


Pengarang :