AGENDANASIONAL

Pelan rasionalisasi MAB tidak jejas luar bandar

KUALA LUMPUR, 19 NOV: Kementerian Pengangkutan memberi jaminan sebarang pelan rasionalisasi yang telah dan akan dilaksana Malaysia Airlines Berhad (MAB) tidak akan menjejaskan perkhidmatan udara luar bandar (RAS) sedia ada yang disediakan MASWings di Sabah dan Sarawak.

Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Kamarudin Jaffar berkata kerajaan akan meneruskan perkhidmatan RAS bagi kemudahan penduduk di kedua-dua negeri itu dengan menyediakan peruntukan subsidi secukupnya.

“Pada 3 Januari lalu kerajaan menandatangani perjanjian baharu dengan MASWings bagi meneruskan penyediaan RAS di Sabah dan Sarawak untuk tempoh enam tahun (2019-2024) selaras kajian semula Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom),” katanya pada sesi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Fadillah Yusof (GPS-Petra Jaya) yang meminta menteri pengangkutan menyatakan sama ada kepentingan rakyat Sabah dan Sarawak dititikberatkan dalam usaha kerajaan melaksanakan pelan rasionalisasi MAB.

Pada masa sama, Kamarudin berkata kerajaan juga melaksanakan pelbagai inisiatif penstrukturan semula Malaysia Airlines untuk memulihkan kedudukan prestasi dan kewangan operasinya.

Katanya sepanjang tempoh berkenaan syarikat penerbangan itu menghadapi pelbagai cabaran termasuk pertumbuhan penumpang yang sederhana dan diganggu dengan perang harga serta amalan pesaing industri yang mencipta lebihan penawaran, selain ketidakstabilan harga minyak.

-BERNAMA


Pengarang :