EXCOSELANGOR

Penggantian paip air siap sepenuhnya pertengahan 2020

SHAH ALAM, 6 NOV: Kerja penggantian paip sepanjang 438 kilometer (km) di seluruh Selangor dijangka siap secara berperingkat pada pertengahan 2020.

EXCO Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata sepanjang 365.16km paip sudah siap diganti sejak 2016, manakala baki 72.84km dalam proses penggantian.

“Bagi 2019, sepanjang 168km lagi dikenal pasti dan sedang dalam proses reka bentuk serta tender.

“Jumlah peruntukan keseluruhan bagi program penggantian paip dari 2016 sehingga 2019 sebanyak RM526 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan mulut Dato’ Mohd Shamsudin Lias (BN-Sungai Burong) di Dewan Negeri Selangor hari ini.

Sementara itu Ir Izham berkata, sehingga Ogos lalu kadar jumlah air tidak berhasil (NRW) yang direkodkan berada pada tahap 28.67 peratus.

Katanya, kerja mengurangkan NRW akan diteruskan dan keutamaan diberi kepada kawasan mempunyai kebocoran tinggi.

“Kita mempunyai lebih kurang 6,000 kilometer. Program penggantian paip ini dilakukan secara berperingkat dan tentunya mengambil masa yang lama.

“Kerja penurunan NRW bukan sahaja melibatkan penggantian paip tetapi termasuk penggantian komponen lain seperti ‘valve’ pam air.

“Kita akan mengambil langkah terbaik bagi membaiki mutu air dan NRW berkurangan. Sasaran kita adalah mengurangkan NRW sekitar 1 peratus setiap tahun,” katanya.


Pengarang :