EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi Dan Inovasi (STI) dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

PKGS belum layak dicalon tapak warisan dunia

SHAH ALAM, 8 NOV: Permatang Kuarza Gombak Selangor (PKGS) belum layak untuk dicalonkan sebagai salah satu tapak warisan dunia UNESCO.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata, PKGS bukan satu-satunya permatang kuarza yang terdapat di dunia.

Katanya, masih terdapat kuarza lain seperti di negara Kanada, India, Perancis, Jerman, Scotland dan Rusia.

“Hasil penemuan kajian Dossier PKGS mendapati nilai estetika di kawasan itu tidak terlalu luar biasa jika dibandingkan dengan tapak lain.

“Justeru, Kerajaan Negeri bercadang untuk menjadikan PKGS sebahagian Tapak Geopark Kebangsaan sebelum dicalonkan sebagai Tapak UNESCO Global Geopark,” katanya.

Beliau (PAKATAN-Kajang) berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Saari Sungib (PAKATAN-Hulu Kelang) di Dewan Negeri Selangor, di sini, hari ini.

Loy Sian berkata, PKGS mempunyai data berkenaan rekod sejarah pembentukan bumi yang sangat penting namun, kajian saintifik, penyelidikan, penerbitan dan sumber rujukan serta maklumat yang khusus berkenaan kuarza masih terlalu terhad.

“Justeru, Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sudah sahkan menimbang dan bersetuju mahu mengambil maklum hasil penemuan Kajian Dossier PKGS sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO.

“Selain itu, meluluskan cadangan PKGS sebagai sebahagian Tapak Geopark Kebangsaan sebelum dicalonkan sebagai Tapak UNESCO Global Geopark,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Kerajaan Negeri melalui PLANMalaysia@Selangor (Jabatan Perancangan Bandar dan Desa Negeri Selangor) sedang menjalankan kajian Geopark Gombak-Hulu Langat Selangor.

“Kajian ini akan mengenalpasti potensi dan kekuatan tapak warisan berunsurkan geologi yang terdapat di Gombak dan Hulu Langat sebagai aset warisan Selangor dan untuk memastikannya terus terpelihara,” katanya.


Pengarang :