AGENDANASIONAL

PRK Tanjung Piai: Polis terima 28 laporan

PONTIAN, 11 NOV: Polis telah menerima sebanyak 28 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, bermula dari hari penamaan calon pada 2 November lepas sehingga pagi tadi.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata daripada jumlah itu, pihak polis telah membuka tiga kertas siasatan.

Katanya satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membabitkan kenyataan seorang pemimpin yang berunsur hasutan ketika memberi ceramah baru-baru ini, manakala selebihnya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.

“Setakat ini, dalam kes yang dilaporkan, kita belum ada buat sebarang tangkapan, cuma kita telah pun mengambil keterangan saksi-saksi yang terlibat.

“…dan lagi dua masih dalam siasatan antaranya yang melibatkan papan iklan (parti bertanding) tumbang…kita telah siasat dan kita dapati tiada unsur jenayah,” katanya dalam sidang media khas bagi PRK itu, di Ibu Pejabat Polis Daerah Pontian, di sini hari ini.

Menurutnya lagi, satu kes telah dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut berhubung laporan mengaitkan seorang calon PRK itu.

Satu lagi kes dirujuk ke Jabatan Peguam Negara berhubung kenyataan seorang presiden parti, tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata sebanyak 447 permit kempen politik telah dikeluarkan oleh polis bagi PRK tersebut iaitu 75 permit dikeluarkan untuk Pakatan Harapan (PAKATAN), BN sebanyak 264, Gerakan (99), Berjasa (4) dan Bebas (5).

Mohd Kamarudin turut mengingatkan semua parti politik agar mematuhi setiap peraturan sepanjang tempoh berkempen termasuklah membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen.

Dalam perkembangan lain, beliau turut berharap proses hari mengundi awal membabitkan seramai 280 pegawai dan anggota polis berjalan lancar esok.

PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil BN, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 Sept lepas.

-BERNAMA


Pengarang :