Ir Izham Hashim melawat pameran pada Program Memancing Bagan Lalang, di sini. Foto Facebook Ir Izham Hashim
BERITA UTAMAEXCOSELANGOR

Rancang tambah tiga lokasi pelancongan agro tahun depan

SEPANG, 24 NOV: Selangor merancang untuk menambah tiga lagi lokasi pelancongan agro pada tahun depan bagi merancakkan pembangunan pertanian di negeri ini.

EXCO Insfrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir. Izham Hashim berkata setakat ini terdapat dua lokasi pelancongan agro iaitu Pesta Udang Galah di Sabak Bernam dan Pesta Memancing di Bagan Lalang, Sepang.

“Kedua-dua aktiviti ini akan ditambahbaik sepanjang 2020 bagi membolehkan ia dikenali tidak kira dalam kalangan pelancong tempatan mahupun luar negara.

“Kerajaan Negeri sentiasa mengambil serius untuk membangunkan pelancongan agro kerana ia adalah teras kelima dasar pembangunan pertanian di Selangor,” katanya kepada SelangorKini.

Terdahulu, Izham merasmikan Program Memancing Bagan Lalang, di sini yang turut dihadiri Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia, Muhammad Faiz Fadzil.

Pada masa sama, Izham berkata lima teras pembangunan pertanian sedang rancak dikaji dan akan direalisasi Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun akan datang.

Katanya ia membabitkan guna tanah, teknologi, pembangunan usahawan, pemasaran dan pelancongan agro.

“Kita juga memfokuskan pelancongan agro sebagai destinasi tarikan kerana ia boleh menambahkan pendapatan pengusaha pada masa sama.

“Banyak pengusaha berjaya dalam bidang ini tetapi mereka gagal daripada segi pemasaran, justeru kita mahu membentuk mereka supaya berjaya hingga peringkat seterusnya,” katanya.


Pengarang :