EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Hal Ehwal Pengguna, Sains, Teknologi dan Inovasi, Hee Loy Sian. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
EXCOSELANGOR

Selangor kaji bina tapak lupus bahan kimia terjadual

BESTARI JAYA, 29 NOV: Kerajaan Negeri masih meneliti perancangan untuk membina sebuah tapak pelupusan bahan kimia terjadual bagi mengekang isu pembuangan bahan itu secara haram.

EXCO Alam Sekitar, Teknologi Hijau, Sains, Teknologi dan Inovasi dan Hal Ehwal Pengguna, Hee Loy Sian berkata perkara itu dicadangkan dalam mesyuarat penyelarasan bersama Syarikat Kualiti Alam Sdn Bhd hari ini.

“Jika ada keperluan kita akan adakan satu tapak pelupusan bahan kimia terjadual kerana di Selangor kita mempunyai banyak industri dan tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada satu tempat sahaja, selain kosnya yang agak tinggi.

“Kita harap akan ada satu lagi saingan kepada Kualiti Alam memandangkan sekarang ini hanya mereka satu-satunya syarikat yang mengendalikan bahan buangan terjadual ini.

“Saya berharap rakyat menerima usaha Kerajaan Negeri kerana kita bukan sengaja membawa toksik ke Selangor tetapi kalau dibiarkan, mereka (individu tidak bertanggungjawab) akan melupuskannya secara haram dan pindah ke merata tempat,” katanya kepada SelangorKini.

Beliau ditemui selepas merasmikan Program Jelajah 360º Smart Selangor Edisi Khas Sempena Istiadat Konvokesyen ke-14 Universiti Selangor 2019 di kampus Bestari Jaya di sini hari ini.

Sementara itu, Loy Sian berkata polis dan Jabatan Alam Sekitar sedang mengesan individu tidak bertanggungjawab yang didakwa membuang longgokan tong berisi bahan kimia di dua lokasi berhampiran Jalan Kapar, Batu 16, Kampung Tambak Jawa.

Katanya bahan kimia yang meletup dan terbakar itu juga masih dibersihkan dan memakan masa selama seminggu untuk pulih sepenuhnya.

“Kerajaan Negeri membelanjakan RM1 juta untuk memindahkan bahan kimia ke Kualiti Alam di Bukit Pelanduk, Negeri Sembilan.

“Kita baru mendapat kelulusan pada Rabu dan sekarang sedang berusaha untuk pindahkan semua bahan itu ke sana,” katanya.

SelangorKini sebelum ini melaporkan ratusan tong berisi bahan kimia ditemui anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, namun tidak sempat dilupuskan Jabatan Alam Sekitar sebelum ia meletup dan terbakar awal pagi Isnin lalu.


Pengarang :