DYTM Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah berkenan bergambar bersama peserta Program ‘Youth Economic Forum 2019 di Sasana Kijang Bank Negara, Kuala Lumpur pada 9 November 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

Semangat Greta Thunberg tarik perhatian Raja Muda Selangor

KUALA LUMPUR, 10 NOV: Semangat dan tekad aktivis remaja terkenal, Greta Thunberg yang baru sahaja berusia 16 tahun menarik perhatian Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah melalui titah ucaptamanya pada Forum Belia 2019, semalam.

Baginda berkata, melalui semangat, tekad dan tanpa rasa takut, gadis itu telah berjaya menarik perhatian dunia bagi isu perubahan iklim dunia.

“Ucapannya yang penuh semangat menyebabkan ahli-ahi politik tidak terkata dan jutaan manusia terinspirasi,” titah baginda di Sasana Kijang Bank Negara Malaysia, di sini.

Terdahulu, Thunberg dari Sweden menjadi perhatian dunia selepas menyertai persidangan antarabangsa UN Climate Action Summit di New York pada 23 September lalu.

Gadis remaja itu menjadi ikon aktivis alam sekitar sedunia selepas bertindak tidak hadir ke sekolah sebagai tanda mogok terhadap kerajaan Sweden yang dikatakan tidak mengambil berat isu perubahan iklim.

Tengku Amir Shah bertitah, Thunberg pertama kali dikenali selepas berdiri sendirian di luar bangunan Parlimen Sweden memegang sepanduk ‘School Strike for Climate’.

“Tiada siapa yang dapat menjangka gadis seusia itu mampu menggerakkan jutaan penyokong khasnya golongan belia sekali gus mendapat perhatian pemimpin dunia hari ini.

“Kejayaan dia adalah atas dasar perasaan ingin tahu, daya tahan dan juga kegigihan.

“Melihat kepada contoh yang diberikan ini, kita boleh melihat betapa golongan muda mampu mewujudkan kesan yang berganda kepada dunia,” titah baginda.


Pengarang :