AGENDANASIONAL

SITEC bangun 350 aplikasi berdepan revolusi industri

SHAH ALAM, 9 NOV: Majlis Teknologi Maklumat dan E-Dagang Selangor (SITEC) sedia berhadapan perkembangan pesat e-dagang dengan membangunkan pelbagai aplikasi.

Dato’ Menteri Besar, Amirudin Shari berkata pada masa ini SITEC berjaya membangunkan kira-kira 350 aplikasi membabitkan 350 usahawan muda.

“Kita banyak bersedia ke arah Revolusi Industri 4.0 dan e-dagang sebab ini masa hadapan yang luas dan membabitkan bilion dolar Amerika Syarikat.

“Sebagai contoh, melalui SITEC kita sediakan 100 aplikasi setahun dan sekarang kita sudah siapkan kira-kira 350 aplikasi membabitkan 350 usahwan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media program Mini Ekspo Usahawan Selangor (MEXUS) Daerah Gombak 2019 di Melawati Mall di sini, hari ini.

Turut hadir EXCO Pembangunan Usahawan, Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Pada masa sama, Amirudin turut mengingatkan generasi muda bahawa pekerjaan makan gaji bukanlah segala-galanya.

Beliau sebaliknya berkata generasi muda juga boleh memilih menceburi bidang keusahawanan yang mampu menjamin pendapatan lumayan.

“Kita ada program ‘zero to hero’ atau blue print kemiskinan yang membantu memberi peralatan perniagaan tetapi ramai yang tidak mengambil kesempatan ini,” katanya.


Pengarang :