AGENDANASIONAL

SUHAKAM cadang sekolah tahfiz dikelola kerajaan pusat, negeri

PUTRAJAYA, 9 NOV: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) mencadangkan sekolah tahfiz di negara ini dikelolakan oleh kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan bagi mengelakkan berlakunya kejadian keganasan di sekolah berkenaan.

Pesuruhjaya Kanak-Kanak Suhakam Prof Datuk Noor Aziah Mohd Awal berkata cadangan itu susulan kes kematian seorang kanak-kanak, Mohammad Aimin Nurul Amin, di Pahang yang merupakan satu lagi tragedi melibatkan pelajar sekolah tahfiz.

“Menjadi tanggungjawab semua untuk memastikan kanak-kanak dilindungi daripada keganasan dan penderaan.

“Kementerian Pendidikan dan pihak berkuasa agama juga bertanggungjawab untuk memastikan tiada kanak-kanak didera di sekolah dan di mana-mana institusi pendidikan kerana ia seharusnya menjadi ruang yang selamat di mana hak kanak-kanak dilindungi dan dihormati,” katanya dalam kenyataan.

Noor Aziah berkata jika didaftarkan, sekolah tahfiz atau mana-mana sekolah lain boleh dipantau melalui peraturan bukan sahaja dari segi kualiti pendidikan malah dari segi keselamatan.

Katanya pemantauan sekolah agama bukanlah sesuatu yang baharu kerana Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) dan Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) telahpun berdaftar di bawah Kementerian Pendidikan.

“Pesuruhjaya Kanak-kanak bersetuju dengan seruan Menteri Pendidikan (Dr Maszlee Malik) pada awal tahun ini supaya kesemua sekolah tahfiz di seluruh negara didaftarkan di bawah Kementerian Pendidikan memandangkan dalam masa sama, 4,000 Sekolah Agama sudah berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dengan anggaran 200 lagi yang belum berdaftar,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menekankan bahawa semua sekolah tidak kira sekolah agama atau sebaliknya, perlu berdaftar dengan kerajaan kerana pendidikan merupakan bidang kuasa kerajaan Persekutuan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 13 Senarai Persekutuan Jadual Kesembilan dalam Perlembagaan Persekutuan.

-BERNAMA


Pengarang :