AGENDANASIONAL

UPM lonjak kedudukan dalam ranking universiti terbaik Asia

BANGI, 27 NOV: Universiti Putra Malaysia (UPM) meneruskan rentak cemerlang dalam QS World University Asia Ranking 2020 dengan kedudukan ke-33 berbanding 34 pada tahun lalu.

Pengarah Pejabat Strategi Korporat dan Komunikasinya, Prof Dr Azmawani Abd Rahman berkata kedudukan terbaharu itu sekali gus menjadikan UPM sebagai universiti kedua terbaik di Malaysia.

“Merujuk kepada pencapaian dalam QS World University Asia Rankings 2020 ini, indikator jaringan penyelidikan antarabangsa dilihat sebagai kekuatan utama UPM apabila menduduki tempat kelapan di Asia.

“Ini membuktikan kemampuan dan tahap kualiti tinggi pegawai akademik UPM yang memberikan impak positif dalam mewujudkan jalinan kerjasama strategik itu,” katanya dalam kenyataan.

Dr Azmawani berkata, kedudukan itu juga mencatatkan sejarah tersendiri apabila UPM berjaya membuat lonjakan secara berterusan bagi tempoh enam tahun secara berturut-turut.

Katanya UPM juga akan terus fokus kepada kualiti penyelidikan dalam bidang tujahan utama, di samping meningkatkan reputasi universiti di peringkat lokal dan global.

“Walaupun terus mencatat peningkatan, namun sebagai institusi ilmu yang sentiasa mengutamakan kualiti dan kecemerlangan, UPM percaya banyak lagi ruang untuk dibuat penambahbaikan supaya ia terus dipertingkatkan.

“Bagi menjayakan agenda ini, UPM akan terus melipatgandakan usaha secara tersusun dan berstruktur melalui penanda aras dalam aspek amalan dan pencapaian dengan universiti yang cemerlang di rantau ini serta dunia.

“Fokus utama akan diberikan kepada inisiatif bagi memantapkan impak penyelidikan melalui kolaborasi strategik dengan pihak industri serta rakan antarabangsa,” katanya.

Pada masa sama, Dr Azmawani berkata UPM akan terus memberikan penekanan kepada penyelidikan dan penerbitan dalam jurnal antarabangsa berimpak tinggi.

Katanya usaha berterusan juga akan dilaksanakan melalui penekanan dalam aspek kuantiti dan kualiti penerbitan penyelidikan, di samping inisiatif penjenamaan dan visibiliti universiti melalui pelbagai landasan.


Pengarang :