ADNSELANGOR

100 kanak-kanak sertai Sunathon Sementa

KAPAR, 1 DIS: Seramai 100 kanak-kanak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sementa terpilih menyertai Program Sunathon Sementa 2019 secara percuma, hari ini.

Ahli Dewan Negerinya, Dr Daroyah Alwi berkata, program berkhatan beramai-ramai itu dijayakan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN bertujuan membantu anak-anak daripada keluarga kurang berkemampuan.

Katanya, ia dilaksanakan sebagai fardhu kifayah dan memberi peluang serta meringankan beban menjalani ibadah berkaitan.

“Semua peserta memberikan kerjasama amat baik dan tiada adegan kejar-mengejar sepanjang program itu berlangsung,” katanya.

Dr Daroyah turut mendoakan peserta cepat sembuh dan menjadi insan yang akan berjasa kepada bangsa, agama dan negara.

Pada masa sama, beliau yang juga Timbalan Speaker Dewan Negeri Selangor turut menzahirkan rasa terima kasih atas penganjuran program yang disifatkan mampu merapatkan hubungan silaturrahim antara penduduk.

“Terima kasih diucapkan kepada pihak terbabit menjayakan program ini terutama kepada kakitangan PKM DUN Sementa, ibu bapa peserta, Kilinik Hanafi serta Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang,” katanya.

Program Sunathon 2019 DUN Sementa bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengahari di Klinik Hanafi, Rantau Panjang, di sini.

Turut dimeriahkan dengan semburan air BBP Sungai Pinang kepada kanak-kanak terbabit bagi menenangkan kegusaran selain mewujudkan keseronokan dalam acara berkhatan beramai-ramai itu.


Pengarang :