AGENDABERITA UTAMANASIONAL

70 peratus gaji bayar keperluan, rumah dan pengangkutan

KUALA LUMPUR, 9 DIS: Hampir 70 peratus pendapatan bulanan rakyat Malaysia dibelanja untuk barangan keperluan, perumahan dan pengangkutan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

Saifuddin berkata berdasarkan laporan Kumpulan Bank Dunia, tiga komponen berkenaan turut ​​​menyumbang kepada bebanan kos sara hidup rakyat.

“Laporan itu turut menyebut semakin rendah pendapatan rakyat, semakin banyak mereka berbelanja untuk makanan, manakala semakin tinggi pendapatan rakyat (golongan kaya), semakin banyak mereka habiskan untuk berjalan dan ke kelab rekreasi dan sebagainya.

Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI

“Jadi kita boleh tengok di situ apabila berlaku kenaikan harga kos barang dan sebagainya, golongan berpendapatan bawah yang paling terkesan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Edisi Ke-21 Malaysia Economic Monitor- “Making Ends Meet” di sini, hari ini.

Selain itu, laporan berkenaan turut menyentuh tentang pendapatan rakyat Malaysia yang statik ketika kos sara hidup meningkat, katanya.

Justeru, beliau berkata kementerianya selaku sekretariat Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) akan mengambil beberapa inisiatif mengatasi masalah berkenaan.

“Saya dapat beberapa idea untuk melakukan beberapa anjakan terhadap fokus dan keutamaan bagaimana NACCOL harus bergerak memasuki tahun 2020…kita tidak boleh puas hati dengan tahap sekarang, kita mesti lakukan lebih pada itu,” katanya.

Sementara itu, Saifuddin dalam ucapannya berkata NACCOL sedang melihat bagaimana mengurangkan harga barangan makanan dan meningkatkan pendapatan pengeluar makanan dengan menghapuskan lapisan orang tengah dalam rantaian bekalan makanan.

“Baru-baru ini saya melawat jeti nelayan di Sekinchan serta Sungai Besar dan saya bercakap dengan nelayan, harga ikan kembung hanya RM5 ke RM6 sekilogram (kg) dan harganya di pasar basah 1.5km dari jeti ialah RM13 sekg.

“Saya telah mengeluarkan arahan kepada Ketua Setiausaha (Datuk Muez Abdul Aziz) untuk benar-benar melihat perkara itu dan kami komited untuk bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani mengenai perkara ini.

“Untuk tahun-tahun mendatang, ini akan menjadi salah satu keutamaan saya dalam usaha kami mengurangkan kos sara hidup,” katanya.

Katanya kerajaan juga akan terus mempertingkatkan perkhidmatan pengangkutan awam, terutama kesalinghubungan terakhir selain membangunkan lebih banyak rumah mampu milik dan memperkenalkan skim yang kreatif dan inovatif untuk meningkatkan pemilikan rumah dan mengurangkan kos memperolehnya.

Beliau berkata menerusi kementerian mereka memulakan program Food Bank Malaysia dan Food Bank Siswa yang setakat ini memberikan sekuriti makanan kepada lebih 400,000 keluarga dan 7,000 penuntut universiti.

-BERNAMA


Pengarang :