Hafizul Hafiz, 21, terpaksa menggunakan titi kayu dan buluh untuk keluar dari rumah yang dinaiki air selepas dilanda banjir baru-baru ini di Kampung Tersang Rantau Panjang pada 6 Disember 2019. Foto BERNAMA
AGENDANASIONAL

Banjir: Mangsa di Kelantan terus berkurangan, Terengganu hampir pulih

KUALA LUMPUR, 6 DIS: Jumlah mangsa banjir di Kelantan terus berkurangan malam ini manakala keadaan banjir di Terengganu pula hampir pulih.

Di KELANTAN, sehingga 8 malam ini, mangsa banjir yang dicatatkan adalah 4,781 orang yang melibatkan 1,848 keluarga berbanding 5,627 mangsa (2,151 keluarga) petang ini.

Menurut aplikasi InfoBencanaJKM, jumlah itu membabitkan 2,544 orang daripada 1,048 keluarga di tujuh pusat pemindahan sementara (PPS) di Pasir Mas.

Di Tumpat pula masih terdapat 2,237 mangsa daripada 800 keluarga yang ditempatkan di tujuh PPS.

Sementara itu, laman sesawang ebanjir.kelantan.gov.my menunjukkan paras Sungai Golok di Rantau Panjang, Pasir Mas terus susut kepada 9.27 meter berbanding 9.38 meter sebelum ini (bahaya 9.0 meter).

Sungai Golok di Kuala Jambu, Tumpat pula telah susut ke paras amaran pada bacaan 2.47 meter (amaran 2.15 meter) berbanding paras bahaya 2.51 meter petang ini.

Hujan masih berterusan dengan sesekali lebat di sesetengah tempat tetapi tiada jalan utama yang ditutup untuk semua kenderaan. Tiga mangsa menjadi korban banjir di Kelantan setakat ini.

Di TERENGGANU, situasi banjir hampir pulih sepenuhnya yang mana hanya 69 mangsa daripada 17 keluarga berlindung di dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) malam ini.

Ketua Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri, Leftenan Kolonel Che Adam A Rahman berkata jumlah itu berkurangan berbanding 195 mangsa daripada 53 keluarga di dua PPS tengah hari ini.

“Seramai 22 mangsa banjir (empat keluarga) berada di PPS di Sekolah Kebangsaan Bukit Guntong manakala di SK Kampung Gemuruh seramai 47 mangsa (13 keluarga) masih berada di situ. Kita jangka dua PPS ini akan ditutup sepenuhnya esok sekiranya cuaca kekal seperti sekarang,” katanya.

Dalam pada itu, Jabatan Pengairan dan Saliran melalui laman sesawangnya http://publicinfobanjir.water.gov.my/ pula melaporkan semua stesen bacaan air sungai di Terengganu berada di paras normal malam ini.

– BERNAMA


Pengarang :