Dato’ Seri Amirudin Shari bergambar bersama peserta selepas merasmikan Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Dua minggu kutipan premium melonjak kepada RM1.088 bilion

SHAH ALAM, 20 DIS: Hanya dalam tempoh dua minggu seluruh Pejabat Daerah dan Tanah serta Pejabat Tanah dan Galian Selangor (PTGS) berjaya meningkatkan kutipan premium daripada RM1.066 bilion kepada RM1.088 bilion.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata, pertambahan RM22 juta dalam tempoh singkat itu berjaya mengatasi sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri bagi 2019.

“Bagi 2019, jumlah kutipan premium dikutip semua Pejabat Daerah dan Tanah sehingga 30 November adalah 99.6 peratus iaitu RM1,066,412,067.01, ia adalah pencapaian menghampiri 100 peratus daripada yang ditetapkan tahun ini.

“Sebentar tadi, Pengarah PTGS, Dato’ Zulkefli Khalid baru menjelaskan kutipan sehingga hari ini RM 1,088,000,000 dan ini bermakna bahawa tuan puan berjaya mencatatkan 101 peratus daripada sasaran ditetapkan Kerajaan Negeri,” katanya.

Dato’ Seri Amirudin Shari menyempurnakan gimik Pelancaran Buletin Sukan PETANDA 2019 ketika Majlis Apresiasi Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor (PETANDA) 2019 di IDCC, Shah Alam. Foto ASRI SAPFIE/SELANGORKINI

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Kejohanan Sukan Pejabat Tanah dan Daerah Selangor Ke-13 2019, di Ideal Convention Centre Shah Alam di sini, malam tadi.

Majlis itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, Zulkefli dan Pegawai Daerah Kuala Langat, Mohd Jusni Hashim.

Amirudin menyifatkan Pejabat Daerah dan Tanah serta PTGS sebagai jentera pengutip hasil utama bagi Selangor di mana 80 peratus kutipan ini adalah bersumberkan pejabat terbabit.

Katanya, pencapaian ini membantu mengekalkan kestabilan kewangan seterusnya mengorak langkah menuju hala tuju seperti digariskan Kerajaan Negeri.

“Saya amat berharap, pada 2020, semua Pejabat Daerah dan Tanah serta PTGS terus mengekalkan kecemerlangan ini, terus bergerak ke depan bagi memastikan hasil premium negeri ini dapat dikutip sebaik dan setinggi mungkin agar hasil-hasil ini dapat dibelanjakan untuk kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.


Pengarang :