Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah. Foto BERNAMA
AGENDABERITA UTAMANASIONAL

Jangan beli, guna produk ‘Pak Li Medicated Plaster’

SHAH ALAM, 9 DIS: Orang ramai dinasihatkan supaya tidak membeli dan menggunakan produk tradisional ‘Pak Li Medicated Plaster’ selepas dikesan mengandungi racun berjadual Diphenhydramine.

Ketua Pengarah Kesihatan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Diphenhydramine adalah sejenis antihistamin yang dikawal di bawah Akta Racun 1952 dan hanya boleh diperoleh daripada doktor atau ahli farmasi.

Justeru, katanya, pendaftaran produk jenis plaster itu dibatalkan pada 5 Disember lalu selepas KKM mengesan penggunaan racun berjadual itu di dalam produk berkenaan yang tidak dibenarkan dalam formulasi produk tradisional.

“Diphenhydramine digunakan untuk melegakan reaksi alahan dan kesan sampingannya yang digunakan secara tropikal termasuk ruam, gatal-gatal serta peningkatan kepekaan terhadap cahaya.

“Penjual dan pengedar produk ini perlu menghentikan penjualan dan pengedarannya dengan serta merta kerana ia melanggar Akta Jualan Dadah 1952 dan Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984,” katanya dalam kenyataan.

Dr Noor Hisham berkata, individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan ini boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.

“Untuk kesalahan pertama dan denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Manakala, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 untuk kesalahan berikutnya.

“Orang awam yang sedang menggunakan produk ini dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan,” katanya.

Status pendaftaran sesuatu produk melalui laman sesawang www.npra.gov.my atau memuat turun aplikasi ‘NPRA Product Status’ daripada Google Play Store.


Pengarang :