Foto: Facebook Lembaga Zakat Selangor
AGENSISELANGOR

LZS perkenal ‘Grab Benefits’ mudahkan pemandu bayar zakat

PETALING JAYA, 11 DIS: Lembaga Zakat Selangor (LZS) dengan kerjasama Grab Malaysia menawarkan Program Grab Benefits sebagai kaedah caruman zakat bulanan kepada pemandu perkhidmatan e-hailing itu, khususnya di kawasan Lembah Klang.

Ketua Jabatan Majikan Divisyen Kutipan LZS, Muhd Fikri Naim Harun berkata, kemudahan itu membolehkan pemandu menunaikan kewajipan berzakat melalui pemotongan di aplikasi Grab Driver.

“Seiring langkah ke arah transformasi digital, skim caruman zakat bulanan pemandu Grab ini diharap dapat menggalakkan pemandu Grab untuk turut sama memanfaatkan kemudahan teknologi dalam beribadat.

“Pemotongan akan dilakukan pada setiap bulan menerusi e-wallet pemandu. Di samping itu, pemandu juga berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang ditawarkan sempena Kempen Grab 2019 Zakat Selangor yang sedang berlangsung hingga 31 Disember ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Program Grab Benefits yang turut dihadiri Ketua Operasinya, Rashid Shukor di Ibu Pejabat Grab Malaysia, Bandar Utama, di sini semalam.

Pada masa sama, katanya, LZS sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan pelbagai pihak yang berminat bagi memudahkan urusan menunaikan zakat.

“Ini termasuk kemungkinan kerjasama dengan Grab Pay di masa hadapan bagi memudahkan penumpang Grab pula untuk menunaikan zakat di LZS,” katanya.

Sementara itu, Rashid berkata, hasil tinjauan dalaman mendapati pemotongan zakat adalah permintaan utama dalam kalangan pemandu Grab.

Malah katanya, rata-rata pemandu perkhidmatan itu turut terpanggil untuk menyelesaikan kewajipan berzakat.


Pengarang :