Sebahagian peserta menghadiri Seminar Pembangunan Usahawan Makanan dan Minuman di Shah Alam Convention Centre pada 10 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
AGENSISELANGOR

MARA fokus lima industri bantu usahawan

OLEH ALIFF HAIKAL

SHAH ALAM, 10 DIS: Majlis Amanah Rakyat (MARA) akan memberi fokus kepada industri makanan dan minuman, gaya hidup, automotif, pembinaan serta perkhidmatan tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah (Keusahawanan) MARA, Dato’ Zulkifri Osman berkata inisiatif itu bagi membantu usahawan sedia ada yang belum kukuh dalam perniagaan termasuk mendapatkan pensijilan.

“Kita mahukan usahawan ini terus kekal dalam perniagaan, oleh itu kita mahu bantu mereka meningkatkan jualan produk daripada aspek kualiti, promosi dan pensijilan.

“MARA juga membantu menyediakan pembiayaan tertentu bergantung kepada keperluan masing-masing,” katanya ketika ditemui pada Seminar Pembangunan Usahawan Makanan dan Minuman “Pembangunan Produk Melalui Teknologi Retort” di Pusat Konvensyen Shah Alam, di sini hari ini.

Seminar itu dirasmikan EXCO Pembangunan Usahawan serta Pembangunan Luar Bandar, Desa dan Kampung Tradisi, Rodziah Ismail.

Zulfikri berkata sebanyak 25,000 usahawan dari seluruh negara mendapat pelbagai manfaat disediakan MARA dalam meningkatkan perniagaan mereka.

Beliau berkata MARA juga berkolaborasi dengan industri besar bagi mewujudkan latihan keusahawanan seperti program bimbingan dan mentor.

“Usahawan yang terlibat akan diberi pendedahan berhubung keusahawanan dan dipantau dalam tempoh empat bulan.

“MARA juga menyediakan pelbagai kemudahan seperti skim pembiayaan perniagaan, tapak perniagaan dan khidmat nasihat dari semasa ke semasa,” katanya.

Seminar bagi menggalakkan penggunaan teknologi ‘retort’ dalam pembangunan inovasi produk usahawan itu membabitkan 160 usahawan dari seluruh negara.


Pengarang :