EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam Dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han bergambar pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor bagi kutipan sampah domestik di MBSA di Dataran Kemerdekaan Shah Alam. 26 Disember 2019. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

MBSA mahu KDEBWM urus sisa pepejal secara sistematik

SHAH ALAM, 26 DIS: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mahu KDEB Waste Management (KDEBWM) menguruskan sisa pepejal di kawasan pentadbirannya dengan sistematik dan komprehensif bagi memelihara serta mengekalkan imej bandar raya itu.

Timbalan Yang Dipertuanya, Mohd Rashidi Ruslan berkata, hal itu kerana penduduk Shah Alam amat menitikberatkan pengendalian sisa pepejal yang pantas dan efisien.

“Penduduk di Shah Alam amat mementingkan kebersihan. Sehingga 19 Disember ini, sebanyak 3,022 aduan kutipan sampah diterima dan 1,618 merupakan aduan sisa domestik. Aduan ini berjaya ditangani dengan baik oleh MBSA.

“Jadi, saya amat berharap KDEBWM dapat seleraskan aduan ini dengan baik. Jika aduan ini tidak dilayan dengan baik atau tidak diberi respon berkesan, ini akan memberikan imej negatif kepada MBSA,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Lori Kompaktor Bagi Kutipan Sampah Domestik di kawasan pentadbiran MBSA di Dataran Kemerdekaan, di sini.

Hadir sama EXCO Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han, Pengerusi Lembaga Pengarah KDEBWM, Raja Shahreen Raja Othman dan Pengurus Besar KDEBWM, Ramli Tahir.

Mohd Rashidi bagaimanapun percaya KDEBWM mampu melaksanakan tugas dengan baik dan boleh membuat kutipan sampah di kawasan kediaman, perdagangan dan komersial dengan cekap dan berkesan.

Mulai 1 Januari 2020, KDEBWM akan mengambil alih pengurusan sisa domestik di kawasan pentadbiran MBSA., manakala kerja pembersihan awam dijangka diambil alih pada 1 Julai 2020.

KDEBWM juga melebarkan operasi bagi kutipan sampah industri di Majlis Daerah Kuala Langat, kutipan sampah di kampung tradisi Majlis Daerah Kuala Selangor dan pembersihan taman di Majlis Perbandaran Klang.


Pengarang :