AGENDA NASIONAL

Najib mengaku catat ‘Bersetuju’ pada surat permohonan pinjaman SRC RM3.95 bilion

KUALA LUMPUR, 3 DIS: Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengaku di Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau telah meminitkan perkataan “Bersetuju” pada sepucuk surat daripada SRC International Sdn Bhd yang memohon kelulusan daripadanya, sebagai Menteri Kewangan, untuk mendapatkan pinjaman RM3.95 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP).

Najib, 66, berkata, beliau hanya meminitkan surat tersebut bagi perhatian beliau untuk memaklumkan sokongannya mengenai permohonan pinjaman SRC itu.

Bekas Perdana Menteri itu berkata, disebabkan perkara itu masih hangat dan telah menarik perhatiannya, beliau memutuskan untuk memberi sokongan kepada surat permohonan yang dikemukakan SRC pada 3 Jun 2011.

Bagaimanapun, Najib berkata, perkataan “Bersetuju” bukanlah bermaksud muktamad dan tidak boleh diubah.

“Ia tertakluk kepada proses penelitian oleh para pegawai yang ada kalanya memberi pendapat yang berbeza. Oleh itu, perkataan ‘Bersetuju’ bukanlah bermakna persetujuan carte blanche (kuasa penuh). Ia tidak menghalang pendapat-pendapat yang berbeza untuk diutara dan dipertimbangkan,” kata Najib ketika membacakan penyataan saksinya pada harı pertama prosiding pembelaannya.

Ditanya peguamnya, Wan Aizuddin Wan Mohammed, sama ada minit “Bersetuju” yang sediakan Najib itu ditujukan kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) KWAP ketika itu Datuk Azian Mohd Noh untuk meluluskan pinjaman tersebut, bekas Perdana Menteri berkata “Tidak sama sekali”.

Katanya, sebagai Menteri Kewangan, beliau sememangnya tiada kuasa untuk mengarahkan KWAP untuk meluluskan apa-apa pinjaman seperti itu.

“Kuasa tersebut terletak di bawah Panel Pelaburan seperti yang dinyatakan dalam Akta Kumpulan Wang Persaraan 2007 yang memperuntukkan bahawa Panel Pelaburan mempunyai kuasa mutlak untuk memutuskan perkara-perkara yang dibawa ke hadapannya.

“Malah, Datuk Azian sendiri tiada kuasa untuk meluluskan pinjaman-pinjaman bagi pihak KWAP. Sebagai Ketua Pegawai Eksekutif KWAP, beliau hanyalah seorang ahli ‘ex-officio’ Panel Pelaburan yang tidak mempunyai kuasa untuk mengundi,” katanya.

Najib yang merupakan saksi pembelaan pertama itu juga mengaku bahawa beliau pernah memohon kepada KWAP supaya dapat mempercepatkan keputusannya dalam memberikan pinjaman itu ataupun untuk mendapatkan badan lain bagi memberikan pinjaman sekiranya pinjaman itu tidak berjaya.

“Ini bagi membolehkan SRC bergerak ke hadapan bersama-sama dengan rancangan-rancangan yang telah dirangka. Ini adalah untuk membolehkan SRC memulakan gerak kerjanya,” katanya yang memberi keterangan ketika membela diri terhadap tujuh pertuduhan menyeleweng RM42 juta dana SRC.

Kepada soalan peguam bahawa Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz Wan Abdullah (bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Kementerian Kewangan) memberi keterangan bahawa Najib telah mengadakan satu lagi perbincangan dengan beliau berkenaan permohonan pinjaman SRC berjumlah RM3.95 bilion di mana Najib meminta beliau untuk mempercepatkan proses pinjaman tersebut dan Wan Abdul Aziz juga telah menyatakan bahawa Najib memaklumkan kepadanya bahawa “RM2 bilion adalah memadai”, Najib menjawab: “adalah suatu yang tidak masuk akal bagi saya untuk mengatakan bahawa “RM2 bilion adalah memadai”.

Pada 11 November lepas, Najib diperintah membela diri terhadap tiga tuduhan pecah amanah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan salah guna kuasa berkaitan dengan dana itu setelah mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap bekas Perdana Menteri itu.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bersambung esok.

– BERNAMA


Pengarang :