Pengarah Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan bercakap kepada media selepas Majlis Pengiktirafan dan Penyampaian Anugerah J3P MPSJ 2018/2019 di Ibu Pejabat MPSJ, Subang Jaya pada 23 Disember 2019. Foto HAFIZ OTHMAN/SELANGORKINI
PBTSELANGOR

Peniaga pasar malam perlu patuh peraturan pelesenan

SHAH ALAM, 25 DIS: Penjaja pasar malam dan pasar pagi di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) diingatkan supaya mematuhi undang-undang bagi memastikan kelancaran pengurusan serta program yang dirancang.

Pengarah Pelesenan MPSJ, Muhammad Azli Miswan berkata, usaha memajukan pasar malam dan pasar pagi memerlukan kerjasama semua pihak bersesuaian dengan kehendak masyarakat yang menggemari suasana beli-belah lebih terancang.

Katanya, pasar malam menawarkan pelbagai pilihan khususnya makanan jalanan yang turut menggamit kehadiran pelancong ke kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, persekitaran bersih dan selamat di lokasi perniagaan itu juga menjadi keutamaan pengunjung.

“Setiap perubahan kemungkinan tidak dapat dilihat oleh semua pihak atau segelintir mungkin tidak menyokong dengan pendekatan dilaksanakan.

“Pihak terlibat (peniaga ingkar) sebenarnya tahu rintangan yang kita hadapi, tetapi kita bersikap terbuka dalam menangani hal ini. Disebabkan itu, Ahli Jawatankuasa Penyelarasan Penggerak Peniaga (J3P) dilantik kerana kita mahu mendengar maklum balas daripada peniaga.

“Peniaga diberi peluang untuk berinteraksi dan memberi maklumat kerana kita mahu menjadikan suara peniaga sebahagian daripada pengurusan dalam pentadbiran pasar malam,” katanya kepada SelangorKini, semalam.

Muhammad Azli berkata, sebelum ini ramai peniaga dikenakan pelbagai tindakan atas kesalahan melanggar syarat pelesenan, namun diberi pertimbangan selepas rayuan dibuat.

“Kita menerima rayuan peniaga kerana mereka kembali patuh syarat pelesenan. Misalnya, peniaga yang tidak menjaga kebersihan atau menggaji pekerja asing.

“Kita bukan mahu menzalimi sesiapa, sebaliknya meningkatkan kefahaman mereka bahawa setiap peniaga perlu ikut arahan dan undang-undang ditetapkan,” katanya.


Pengarang :