Perkahwinan unik Mohamad Shaiful Sharifudin, 29, dan pasangannya, Nurul Ain Nor Azmee, 23, yang berlangsung di Batu 9, Cheras, 1 Disember lalu.
AGENDANASIONAL

Perkahwinan berlangsung `bawah senduk’ viral

SHAH ALAM, 6 DIS: Biasanya bagi setiap anggota dan pegawai tentera, upacara ‘sword bearer’ menjadi istiadat paling istimewa pada majlis perkahwinan mereka.

Menginspirasikan upacara itu, sepasang pengantin dari Cheras, Selangor meniru upacara sama tetapi mengantikan pedang dengan senduk.

Detik itu memberi kelainan pada perkahwinan pasangan Mohamad Shaiful Sharifudin, 29 dan Nurul Ain Nor Azmee, 23, yang berlangsung di Batu 9, Cheras, 1 Disember lalu.

Mohamad Shaiful berkata, dia memilih senduk sebagai simbolik kepada kerjayanya sebagai tukang masak di Majlis Sukan Negara.

“Ibu saya memberi restu dan dia sendiri yang membantu saya mencari senduk panjang untuk saya dan isteri melakukan upacara `sword bearer’.

“Saya terharu apabila rakan-rakan yang juga tukang masak turut membantu melancarkan lagi upacara istimewa itu,” katanya ketika dihubungi SelangorKini.

Selain itu, Mohamad Shaiful berkata, dia juga mengenakan kostum tukang masak yang ditempah khas bagi mengantikan pakaian pengantin tradisional.

Mohamad Shaiful yang juga mengusahakan perniagaan Koyak Catering berkata, dia tidak sangka gambar perkahwinannya yang berjalan di bawah senduk itu menjadi viral di media sosial.

“Sebenarnya perkongsian itu dibuat kerana saya mahu mempromosikan perniagaan katering saya, tetapi tidak sangka ia menjadi viral dan kami dihujani pertanyaan daripada orang ramai.

“Saya anggap ini rezeki perkahwinan dan berterima kasih kepada semua yang membantu melancarkan majlis perkahwinan kami,” katanya.


Pengarang :